AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Mersing membantu membawa keluar seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mengalami sesak nafas dari Pulau Aur ke Hospital Mersing, semalam.
Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Mersing pada 11 pagi memaklumkan Nur Izzara Aliasha Hirwanizam mengalami sesak nafas dan perlu mendapatkan rawatan segera.
“Sejurus menerima maklumat tersebut, bot Perkasa 31 yang sedang melakukan rondaan operasi telah diatur gerak ke Pulau Aur bagi memberi bantuan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata, bot membawa Nur Izzara Aliasha bersama dua kakitangan PKD Mersing tiba di Jeti Mersing kira-kira 3.30 petang dan kanak-kanak berkenaan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut.
Mersing mempunyai lima kepulauan utama iaitu Pulau Sibu, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.
Jarak dari Jeti Mersing ke Pulau Aur mengambil masa lebih dua jam perjalanan dengan menaiki bot.- Bernama
Leave a Reply