Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
Apabila Anwar Ibrahim didesak letak jawatan, maka berebut-rebut pengikut fanatik Presiden PKR itu mempertahankannya.
Skrip sama akan diulang-ulang iaitu tiada siapa yang layak mahu gantikan Anwar, gunakan saluran rasmi atau singkirkan Anwar melalui pemilihan parti. Ada juga pemimpin PKR yang tidak mahu menerima kenyataan bahawa Anwar sudah tidak relevan apabila mengatakan kekalahan tiga siri PRN bukan kelemahan Anwar semata-mata.
Sebenarnya desakan supaya Anwar berundur sudah banyak kali dilaungkan dan paling ketara apabila dia gagal mendapatkan sokongan mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri ketika Tun M meletakkan jawatan sebelum ini. Jika hendak mendapatkan sokongan 222 ahli Parlimen pun masih sukar, bagaimana pula mahu mendapatkan sokongan daripada rakyat Malaysia.
Kelemahan Anwar makin ketara pada PRN Sarawak apabila mereka tewas di semua 28 kerusi yang ditandingi dan alasan yang sama diberikan iaitu menyalahkan orang lain. PKR mendakwa Pilihan Raya Negeri Ke-12 itu dilaksanakan secara tidak adil, tidak bersih dan tidak bebas. Alasan mudah untuk menutup kelemahan diri sendiri.
Kelemahan Anwar makin berterusan ditonjolkan pada PRN Melaka apabila mengiktiraf Idris Haron dengan menyifatkan isu lompat parti bekas KM Melaka itu sebagai berprinsip. Dan akhirnya PKR dihukum apabila tewas di kesemua 11 kerusi ditandinginya walaupun diperuntukkan paling banyak kerusi daripada Amanah yang menang satu kerusi sementara DAP empat kerusi.
Tidak cukup dengan itu, Anwar meneruskan lagi kesilapan percaturan politik pada PRN Johor dengan menjadikan logo sebagai isu utama perlu difokuskan. PKR bertanding menggunakan logo sendiri manakala rakan sekutu iaitu Amanah dan DAP bertanding menggunakan logo PH.
Natijahnya PH menang 11 kerusi manakala PKR hanya menang satu kerusi. Satu strategi yang dari awal lagi menampakkan makin pening kepimpinan PKR. Selain itu, Anwar juga menggunakan trend peratusan keluar mengundi rendah untuk menutup kelemahannya sedangkan jumlah keluar mengundi yang tinggi belum tentu akan menyokong partinya.
Jika diimbas kembali, Anwar juga sudah kehilangan aura kepimpinan apabila ceramah dan bicaranya sudah tidak mendapat sambutan seperti sebelum ini. Mungkin orang ramai sudah tidak mempercayai lagi apa yang diucapkannya kerana skrip sama yang asyik diulang berkali-kali membuatkan ramai yang sudah muak.
Tambahan pula, semenjak menandatangani perjanjian kerjasama kestabilan politik bersama kerajaan PN, Anwar makin ‘lembut’ terhadap kerajaan dan tidak segarang dulu menyebabkan pemimpin pembangkang itu kurang dihormati.
Maka, langkah terbaik bagi Anwar ialah meletakkan jawatan secara terhormat dan akuilah bahawa dia tidak lagi mampu untuk memimpin PKR dan PH. Berilah peluang kepada pemimpin lain yang muda dan segar untuk memimpin parti itu.
Selagi Anwar menjadi pemimpin maka nasib PKR dan PH tak akan berubah.
- Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
Leave a Reply