PH PRN Sarawak Johor

PKR, PH terima tamparan besar kalah PRN Johor

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberinan satu tamparan besar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Hari Krishnan berkata,faktor bilangan keluar mengundi kurang tidak boleh dijadikan alasan semata-mata atas kekalahan tersebut.

Jelasnya, ini kerana boleh mengundang keputusan yang lebih berbahaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang.

Bagaimanapun katanya, jumlah pengundi yang amat rendah di PRN Johor baru-baru ini sememangnya tidak dapat dinafikan namun undian daripada golongan muda juga turut kecundang apabila gagal mendapat undi seperti yang diharapkan.

“Pandemik Covid-19 boleh dijadikan salah satu sebab tetapi faktor ‘fed up’ harus diambil kira kerana kerajaan PH sebelum ini tidak menunaikan sebarang janji manifesto seperti yang telah dijanjikan kepada anak muda.

“Malah kita pula masing-masing sibuk memikirkan logo manakah yang patut menjadi logo rasmi PH namun keputusan PRN telah membuktikan bahawa logo tidak ada sebarang peranan dalam menjadi pilihan pengundi,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Hari Krishnan berkata, pemimpin PH seharusnya memikirkan bagaimana untuk menunaikan janji manifesto yang lepas sekurang-kurangnya di tiga negeri yang sedang diperintah.

Jelasnya, sekiranya diimbau kembali, undian anak muda telah menjadi penentu kemenangan PH yang lalu dengan salah satu janji adalah untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, perlaksanaan janji itu adalah sukar untuk ditunaikan dengan hanya memerintah di tiga buah negeri kerana kuasa kini terletak di tangan kerajaan Persekutuan.

“Namun sebagai langkah permulaan parti boleh membayar hutang PTPTN tahunan yang dibayar oleh pelajar B40 dan M40 kelahiran negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun pertama.

“Jika kerajaan negeri dapat memberi pulangan hutang yang dibuat oleh pelajar kelahiran negeri di bawah kerajaan PH, ia sedikit sebanyak mampu membantu pelajar untuk tempoh lima tahun pertama sebelum mereka mampu mendapat pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, dengan cara itu ia sedikit sebanyak boleh meraih keyakinan anak muda tentang keseriusan kerajaan negeri PH untuk menunaikan janji manifesto.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk meneliti semula cara dan berusaha untuk melaksanakan janji manifesto di peringkat negeri secepat mungkin sebelum PRU-15.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *