WALAUPUN memenangi hanya 3 daripada 56 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan bahawa mereka mampu menjadi pencabar utama kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15).
Berdasarkan statistik perolehan undi popular parti-parti yang bertanding dalam PRN itu seperti mana disiarkan oleh BERNAMA, PN berada di tempat kedua dengan memperolehi undi sebagai 334,457 undi atau 24.04 peratus di belakang Barisan Nasional (BN) yang meraih 599,753 undi atau 43.11 peratus.
Lebih menarik kedudukan PN itu mengatasi Pakatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 284,969 (20.48 peratus) undi. PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri pada kali ini memperoleh 82,556 undi atau 5.93 peratus manakala parti MUDA buat pertama kali ke gelanggang pilihan raya memperoleh 48,072 atau 3.46 peratus undi.
Undi popular merujuk kepada jumlah undi diraih oleh setiap parti atau gabungannya.
Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula memperoleh 18,692 undi atau 1.34 peratus, Bebas dengan 10,007 (0.72 peratus) undi, Warisan (6,523 atau 0.47 peratus) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih 4,880 (0.35 peratus) undi.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula meraih 997 (0.07 peratus) undi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan 247 atau 0.02 peratus undi.
Dalam PRN itu BN menguasai majoriti dua pertiga apabila mendapat 40 kerusi dengan UMNO memenangi 33 kerusi DUN, manakala MCA empat, dan MIC tiga. Ia diikuti dengan PH (11), PN (tiga), MUDA (satu) dan PKR (satu).
Pencapaian BN itu bukanlah sesuatu mengejutkan kerana selain berlaku perpecahan dalam kalangan parti pembangkang melibatkan parti-parti pembangkang, peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 54.92 peratus atau 1,426,573 daripada 2,599,797 pengundi berdaftar juga turut membantu kemenangan BN.
Selain berjaya memenangi 3 kerusi, PN dilaporkan terus mencatat momentum kenaikan sokongan selepas PRN Melaka apabila memberi saingan sengit di 26 DUN di Johor.
Situasi memungkinkan PN kini dilihat mampu memberi saingan kepada BN khususnya di kawasan majoriti Melayu.
Leave a Reply