PRN Johor:Kemenangan BN disumbangkan peratusan mengundi yang rendah

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Muhkriz Mahathir menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah kerana peratusan keluar mengundi yang rendah.

Justeru katanya, BN tidak seharusnya terlalu berbangga dengan kemenangan mereka kerana kira-kira 40 peratus tidak keluar mengundi malah sebahagian daripada pengundi juga tidak menyokong mereka.

“Walaupun Pejuang tidak memenangi satu daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, pihaknya tetap berpuas hati dan menerima keputusan tersebut dengan lapang dada.

“Kita merasakan keputusan ini mengecewakan walaupun begitu kita terima dengan sepenuh hati dengan keputasan yang dibuat rakyat Johor.

“Pada waktu yang sama terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Johor khususnya yang mengundi calon kami, begitu juga ucapan terima kasih kepada jentera parti dari dalam dan luar Johor,” katanya.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata demikian dalam sidang akhbar di Taman Seri Setanggi, Johor Bahru, malam ini.

Dalam PRN Johor, Pejuang bertanding 42 kerusi DUN dengan majoritinya di kawasan Melayu terutama di penempatan Felda.

Mengulas lanjut, Muhkriz berkata, penyertaan Pejuang dalam PRN Johor adalah satu permulaan dalam memperkenalkan parti itu kepada rakyat dan gerak kerja untuk persiapan Pilihan Raya Umum ke15 akan dilakukan bermula esok.

Jelasnya, Pejuang tidak sampai tujuh bulan didaftarkan dan masih belum dikenali termasuk logo parti itu yang baru lima bulan diperkenalkan serta tempoh itu singkat untuk rakyat mengenalinya.

Walaupun begitu, beliau mengakui Pejuang tetap mempunyai kelemahan dan akan membaikinya pada masa depan sekali gus tidak melunturkan semangat mereka terutama teras perjuangan mereka dalam memerangi rasuah.

“Kita harap keputusan ini akan menjadikan kita lebih cekal pada masa depan. Kita akan lihat mana-mana faktor yang perlu dibaiki dan kita akan terus maju ke depan,” katanya.

Pihaknya akan menyusun strategi dalam menambat hati rakyat kerana banyak perkara yang dapat dipelajari dalam PRN Johor.

“Kita tidak masuk PRN ini sebagai satu medan ujian atau populariti. Sebenarnya perjuangan kami dari asal adalah untuk menang sebanyak mungkin kerusi ditandingi dan kalau diizinkan akan tubuh kerajaan namun tidak menjadi, kita ambil ini sebagai ikhtibar,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *