Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan mengubah strategi mereka mendekati pengundi pada masa akan datang selepas mendapat pengalaman bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengarah Pilihan Raya PBM, Haniza Mohamed Talha berkata, walaupun tewas di keempat-empat kerusi ditandingi, mereka tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka dalam PRN berkenaan.
Katanya, ini kerana jumlah undi diterima parti itu dilihat sebagai satu petanda signifikan dalam usaha memperkenal PBM kepada masyarakat.
“Pencapaian kami dalam PRN Johor ini dilihat sebagai sesuatu yang baik. Ini adalah permulaan baik untuk parti baharu, kalau menang itu bonus buat kami.
“PBM memerlukan lebih banyak masa untuk diperkenalkan kepada pengundi. PBM bakal mengubah strategi dalam memperkenalkan calon kepada pengundi selain mendidik mereka untuk mengundi berdasarkan kapasiti individu, bukannya parti atau logo,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PBM Johor, Johor Bahru malam ini.
Pada PRN Johor, PBM bertanding di empat kerusi dengam mempertaruhkan Steven Choong Shiau Yoon di kerusi DUN Puteri Wangsa; Muhammad Hanis Asmui Md. Salleh (Maharani); Mohd. Azmi Ali (Tiram) dan Muhammad Saiful Bahri Sahari (Stulang).
Mengulas lanjut, Haniza berkata, PBM akan membuat kajian terhadap corak pengundian di setiap negeri termasuk sama ada terdapat keperluan untuk parti itu bergabung dengan mana-mana gabungan politik.
“Di Johor, masyarakat mengundi berdasarkan logo dan parti, jadi selepas ini kita akan putuskan sama ada PBM akan bekerjasama dengan parti lain atau tidak, kajian itu perlu dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Shiau Yoon yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata, PRN Johor merupakan pengalaman baik buat parti itu dalam persediaan mereka menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
“Apa yang kami dapati adalah jentera kami tahu apa strategi kempen yang baik untuk PBM, jadi ini adalah perkara positif buat kami,” katanya yang juga Naib Presiden PBM.
Leave a Reply