LAUNGAN ‘bubar Parlimen’ terus bersahutan di ibu pejabat UMNO Johor, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru selepas Barisan Nasional (BN) dikatakan menang dua pertiga, menerusi keputusan tidak rasmi, setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selesai, hari ini.
Keputusan tidak rasmi sehingga pukul 10.48 malam ini menunjukan BN memenangi 37 kerusi, Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (lima), dan masing-masing satu oleh PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Gesaan dalam kalangan dipercayai penyokong dan ahli UMNO itu tercetus apabila Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sedang bergerak untuk ke pentas utama.
Meski dihimpit dengan laungan sedemikian, Ismail Sabri yang dikelilingi pengawal keselamatan dilihat sekadar tunduk membisu, tanpa memberikan sebarang perhatian terhadap kumpulan terbabit, lapor BH.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menggesa supaya Perdana Menteri mengambil keputusan segera dengan membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Percaturan itu dikatakan bertepatan dengan masanya, memandangkan sentimen dalam kalangan rakyat dipercayai memihak kepada UMNO dan BN, susulan kemenangan bertali arus menerusi beberapa PRN sebelum ini.
Bagaimanapun Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional tidak mahu PRU diadakan lebih awal, khususnya semasa negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.
Leave a Reply