PRN Johor:Pilih pemimpin yang bersih, amanah seperti dituntut Islam

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

HARI ini adalah hari yang amat penting dalam sejarah Johor moden. Ini kerana akan berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor iaitu pilihan raya pertama yang diadakan berasingan.

Bagi pengundi PRN Johor sama ada baharu atau sudah lama, sudah tentu sukar membuat pilihan kerana terlalu banyak parti politik bertanding. Mereka tidak tahu adakah apa yang dipangkah nanti akan memberi kesan positif atau tidak untuk tempoh lima tahun akan datang.

Semua yang akan dipilih itu melibatkan soal kepimpinan dan bagaimana caranya untuk mentadbir negeri ini.

Kepimpinan adalah antara isu sangat mustahak diperbincangkan dan ditekankan kerana membabitkan masa depan negeri dan kemajuan rakyatnya. Dalam Islam sudah digariskan kaedah untuk memilih pemimpin.

Tidak dapat dinafikan kepemimpinan hebat berupaya membangunkan masyarakat dan tamadun bangsa, sekali gus bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan daripada aspek fizikal mahupun spiritual.

Kita tidak boleh pilih pemimpin secara semborono atau tangkap muat sahaja. Begitu juga dengan PRN Johor yang berlangsung hari ini.

Dalam Islam terdapat tiga kriteria semasa kita memilih pemimpin iaitu pemimpin perlu beragama Islam. Tetapi jika perlu memilih calon bukan Islam dalam pilihan raya di Malaysia, mereka sebagai pemimpin adalah harus selagi tidak mengancam Islam dan penganutnya.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, hasil penelitian terhadap ayat al-Quran dan pandangan pelbagai ulama tersohor, tiada dalil muktamad yang melarang mengundi calon bukan Islam.

Katanya, ayat al-Quran yang dijadikan hujah oleh ulama untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya.

Kriteria kedua adalah pemimpin yang mampu dan amanah. Dua sifat ini sangat penting dan wajib ada pada seorang pemimpin.

Sementara kriteria ketiga pula adalah adil. Sifat ini sangat penting kerana apabila memilikinya akan mensejahterakan rakyat.

Berbalik kepada PRN Johor, terdapat banyak parti dan gabungan politik yang memberikan pelbagai tawaran menerusi manifesto mereka.

Terpulang kepada kebijaksaan dan penilaian kita dalam membuat keputusan sama ada berdasarkan sentimen kepartian atau condong kepada mana-mana sebab atau faktual yang mendorong untuk memilih pihak mana.

Penulis berpandangan, sebagai seorang muslim, kita mempunyai pilihan untuk memilih dalam PRN Johor kerana masih ada pemimpin yang baik, bersih, amanah dan menolak kemungkaran.

Apabila kita tahu seseorang pemimpin itu serta kepimpinannya mempunyai latar belakang dan rekod yang bersih, mengapa tidak memilih kepimpinannya? Bukankan ini dituntut dalam agama memilih pemimpin dan kepimpinan sedemikian?

Adalah menjadi keganjilan dan kegilaan apabila kita masih mempunyai pilihan yang baik tetapi terus memilih pemimpin atau daripada kepimpinan yang rosak, mengamal rasuah dan salah guna kuasa.

Jika ini berlaku, ini sesuatu yang sangat menghairankan. Adakah kita sebagai umat Islam sudah hilang pertimbangan dan kewarasan, tidak tahu menilai mana baik dan buruk? Adakah kita sudah buta mata hati?

Sudah ada yang baik tetapi tetap memilih yang buruk? Atas alasan apa? Terlalu taksub pada parti politik hingga membelakangkan tuntutan agama? Tidakkah rasa bersalah atau dirasakan terus bersubahat sekiranya masih memilih pemimpin dan keimpinan yang sedemikian?

Sekiranya kita tidak mempunyai pilihan, itu mungkin boleh difahami tetapi sebagai manusia bertamadun dan umat beragama, apabila ada pemimpin yang mempunyai tiga kriteria tersebut, mengapa masih mahu memilih yang sudah rosak?

Bukankah dalam keadaan politik yang sudah dicemari pelbagai ketamakan duniawi, sudah sepatutnya kepimpinan negara perlu kembali kepada landasan Islamiah. Jika kita tidak mampu mengikut seperti yang nabi lakukan, memadailah dengan cuba mengambil contoh kepimpinannya.

Menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr. Mohd. Afandi Mat Rani, kepemimpinan dan manhaj Rasulullah SAW, terlakar dalam sejarah, antara patut dicontohi kerana berjaya membina pentadbiran negara berkualiti dan menepati tuntutan syariat.

Mohd. Afandi berkata, merealisasi kehebatan kepemimpinan Islam bukan mustahil, malah boleh diteladani tetapi kriteria wajib dalam diri individu perlu diketahui sebelum layak diangkat sebagai pemimpin.

“Dalam Islam, nilai utama pemimpin ialah amanah, bukannya soal populariti. Rasulullah SAW menerangkan sifat amanah seperti sabda Baginda kepada Abi Dzar RA. Baginda menjelaskan kesan apabila hilangnya amanah dalam kepimpinan jika jatuh kepada orang yang tidak berhak menjadi
pemimpin.

Dalam hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Maka sekiranya hilang sifat amanah, tunggulah hari pembalasan.”

Abu Dzar berkata: “Bagaimanakah hilangnya sifat itu?” Baginda bersabda: “Sekiranya tampuk kepimpinan jatuh kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah hari pembalasan,” katanya.

Jadilah pengundi yang bijak dan bertanggungjawab, selamat mengundi!


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *