logo SOP Muhyiddin Johor PN

PN diterima rakyat Johor walau bertanding sebagai underdog

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menang di tiga kerusi setakat ini menunjukkan parti itu diterima dengan baik oleh rakyat di negeri itu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin tidak berasa terlalu terkilan dengan keputusan yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) kerana PN menyertai PRN Johor sebagai underdog.

“Saya tak rasa terlalu terkilan sebab kita dah dapat inroad dan traction melalui penyertaan dalam PRN Johor walaupun kita parti baharu.

“Simbol ini pun ramai yang sudah kenal walaupun mungkin sebahagian tidak mengenalinya,” katanya dalam sidang media di Kulai malam ini.

Secara rasmi, PN beroleh kemenangan di DUN Bukit Kepong, Endau dan Maharani.

Beliau yang juga Presiden Bersatu menambah, di beberapa kawasan dan zon tertentu, sokongan terhadap PN agak baik dan menarik.

Muhyiddin berkata, itu bermakna kempen-kempen yang dilaksanakan PN sepanjang tempoh berkempen telah menarik perhatian rakyat Johor.

“Tetapi tidak mendapat cukup bilangan untuk mengimbangi atau membuat perubahan. Jadi ini satu petanda kita diterima tetapi tak sebesar yang diharapkan.

“Perjuangan kita ini bukan hanya terbatas dengan keputusan yang secara umumnya tidak memihak kepada PN,” jelasnya.

Beliau juga bersedia memikul tanggungjawab berikutan prestasi PN dalam PRN Johor dan sanggup berundur sekiranya diminta oleh ahli-ahli parti untuk berbuat demikian.

“Ya saya bertanggung, saya tak ada masalah. Kalau mereka kata tak apa lah, tak payah pegang lagi, itu adalah satu amanah yang saya pikul.

“Jadi, kalau ada ahli-ahli parti rasa terkilan, saya telah buat yang terbaik, semua kita telah bekerja keras sampai tak cukup tidur,” ujarnya.

Berhubung pembubaran Parlimen, Muhyiddin sekali lagi mengingatkan pihak tertentu bahawa Perdana Menteri perlu berbincang dengan pemimpin tertinggi PN terlebih dahulu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *