SPR sedia 1,021 Pusat Mengundi dengan 4,638 saluran

SERAMAI 2.5 juta pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka dengan memilih kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.

SPR menyediakan 1,021 Pusat Mengundi dan 4,638 Saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 49,290 petugas akan bertugas bagi proses pengundian itu.

“Semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi. Pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi.

“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan Garis Panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelas Indera Ikmalrudin lagi, pengundi yang bergejala akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

Katanya pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *