KAJIAN di lapangan oleh pelbagai pihak mendapati walaupun pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan berlangsung esok, namun kesemua mereka merumuskan Barisan Nasional (BN) akan menang selesa.
Seperti juga PRN Melaka, kemungkinan peratusan keluar mengundi yang rendah dan perpecahan antara parti lawan sekali lagi akan ‘membantu’ parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamid mencapai kemenangan.
Lanjutan itu, BN yang dilihat begitu yakin akan kembali secara solo memerintah Johor sudah bercakap soal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada wartawan di Tampoi, Ahmad Zahid berkata, pilihan raya umum tidak seharusnya ditangguhkan lebih lama lagi dan sebaik-baiknya diadakan selepas berakhirnya PRN Johor, yang diyakini akan menang, supaya tidak kehilangan momentum.
Berikutan itu, Ahmad Zahid pada sidang media sama, menolak cadangan agar Putrajaya mengadakan satu lagi perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat bakal menggagalkan usahanya untuk mengadakan pilihan raya umum mengejut.
Beliau berkata memorandum persefahaman kedua hanya akan memberi masa kepada PH untuk menyusun serta membaiki semula kelemahan mereka.
“Mereka ada masalah dalaman, ertinya mereka tak yakin, ertinya mereka rasa mereka ditolak rakyat. Pada hemat saya, jangan beri mereka peluang yang panjang untuk mereka betulkan keadaan, jangan beri peluang yang secukupunya untuk mereka menyusun barisan mereka,’’ katanya.
Penulis bersetuju dari segi strategi ‘peperangan’, itulah cara terbaik bagi menumbangkan musuh yang dianggap tengah lemah, cuma apa yang menjadi persoalan kenapa Ahmad Zahid dilihat tidak mahu berterus terang apabila ditanya siapakah ‘poster boy’ BN bagi PRU-15?
Adakah ‘poster boy’ itu ialah beliau sendiri memandangkan beliau adalah Presiden UMNO atau Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan atau Pengerusi Jemaah Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggap ‘wira’ BN jika parti menang selesa di Johor atau Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini adalah Perdana Menteri?
Menjawab soalan, jika Ismail Sabri akan menjadi pilihan sebagai ‘poster boy’, Ahmad Zahid menjawab; “Kita punyai sistem musyawarah dan kebersamaan barisan pembuat keputusan lazimnya akan mengadakan perbincangan bagi menentukan bahawa parti harus berada di garisan hadapan dan ketika itu kita akan umumkan.’’
Penulis menghormati pendirian Ahmad Zahid yang menegaskan, “Hari ini hari Jumaat dan (esok) pilihan raya di Johor. Tidak sesuai saya umumkan siapakah ‘poster boy’ kita dalam PRU-15. Kita tunggu apabila parti membuat keputusan.’’
Bagaimanapun tidak salah untuk Ahmad Zahid menyatakan secara terbuka, siapa ‘ poster boy’ BN nanti kerana kali ini UMNO akan memasuki gelanggang PRU-15 dengan corak kepemimpinan agak berbeza berbanding sebelum ini. Ia memandangkan inilah kali pertama Perdana Menteri bukan Presiden UMNO atau Pengerusi BN.
Justeru siapa ‘poster boy’ perlu dinyatakan kepemimpinan UMNO bagi mengelakkan spekulasi bertebaran. Jika UMNO menang selesa di Johor, tiada siapa pun boleh menafikan Najib atau lebih popular dengan gelaran ‘bossku’ memainkan peranan penting menarik sokongan pengundi khususnya pengundi Cina kepada BN.
Dalam kempen yang dijalankan, ke mana sahaja Najib pergi, beliau akan disambut dengan meriah dan ada cakap-cakap BN terpaksa meminta Najib turut ke kawasan kelabu atau kawasan peluang BN 50/50 untuk meneutralkan keadaan. Jadi adakah Najib akan kembali menjadi ‘poster boy’ BN?
Bagaimanapun memandangkan Najib sudahpun didapati bersalah oleh dua mahkamah dalam kes SRC International dan kini dalam proses rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan, mengikut Perlembagaan beliau hilang kelayakan untuk bertanding.
Namun begitu, ia tidak bermakna Najib tidak boleh memainkan peranan utama dalam memastikan kemenangan BN dalam PRU, mungkin juga beliau boleh menjadi Pengerusi BN bagi memilih calon-calon yang akan bertanding. Tetapi adakah Ahmad Zahid akan melepaskan jawatan itu kepada Najib memandang Ahmad Zahid adalah Presiden UMNO yang tradisinya juga menjadi Pengerusi BN?
Kalaulah Ahmad Zahid sendiri akan menjadi ‘poster boy’ adakah beliau akan berupaya atau mempunyai kekuatan dan aura untuk menarik sokogan rakyat kepada BN? Tambahan pula Ahmad Zahid sendiri masih mempunyai kes di mahkamah yang akan masuk ke peringkat membela diri?
Adakah mungkin Mohamad Hasan walaupun berada di kedudukan Timbalan Presiden UMNO akan dijadikan ‘poster boy’ memandangkan ramai yang berpendapat, beliau paling layak dan dilihat sesuai serta mampu menarik sokongan kepada BN.
Tambahan pula Mohamad Hasan memainkan peranan penting sebagai Pengarah Pilihan Raya di Melaka dan Johor. Biarpun tidak banyak publisiti namun beliau bergerak di belakang tabir termasuk menyelesaikan masalah di kawasan -kawasan ditandingi BN.
Malah sebelum itu dalam pilihan raya kecil, Tok Mat Hasan juga berjaya memimpin BN mencapai kemenangan ketika Ahmad Zahid bercuti menjalankan tugas Presiden UMNO dan Tok Mat Hasan sendiri menang selesa DUN Rantau?
Bagaimana pula dengan Ismail Sabri? Adakah beliau tidak akan dipilih sebagai poster boy walaupun Perdana Menteri? Adakah Ismail Sabri hanya akan menjadi Perdana Menteri caretaker ketika PRU berlangsung dan akan menyerahkan jawatan itu apabila sudah ada Perdana Menteri termasuk daripada UMNO jika BN menang? Betulkah ada yang berkata beliau tidak cukup ‘ramuan’ menjadi ‘poster boy’?
Ada juga cakap-cakap yang menyatakan Ismail Sabri telah diputuskan oleh Biro Politik UMNO sebagai ‘poster boy’ BN bagi PRU-15, namun setakat ini semuanya ‘senyap sunyi’. Jika betul kenapa perkara ini tidak diumumkan? Apakah ‘ada permainan’? Tanya aje jangan marah..
Sememangnya terlalu banyak spekulasi yang akan bergentayangan. Dan sudah pastilah dengan BN dilihat berpeluang cerah untuk menang PRU-15, maka ‘persaingan’ dalam UMNO pun akan turut menjadi sengit di semua peringkat. Namun BN tidak perlu bimbang siapa pun ‘poster boy’, BN boleh menang dalam PRU-15, biarpun gelanggang pilihan raya umum berbeza dengan PRN.
Leave a Reply