keluar mengundi

Peratusan mengundi dijangka rendah, BN diramal menang PRN Johor

PERATUSAN keluar mengundi yang dijangka rendah mungkin memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO untuk mengatasi parti-parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.

Senario tersebut merupakan antara faktor yang dinyatakan dalam kajian yang dilaporkan oleh Ilham Centre bagi PRN Johor hari ini.

Pengundi Melayu yang ditemui dalam kajian tersebut menyatakan secara terbuka mereka akan keluar beramai-ramai untuk mengundi manakala pengundi Cina masih lagi menunjukkan keraguan untuk keluar mengundi disebabkan oleh pelbagai faktor.

Berdasarkan respon pengundi Cina, mereka masih lagi mengaitkan penularan virus COVID-19 varian Omicron yang berleluasa sekarang menyebabkan mereka takut untuk keluar mengundi.

Bagi ahli keluarga pengundi yang berkerja di luar Johor khususnya Singapura, turut dimaklumkan tidak akan pulang mengundi.

“Faktor penyusutan ini yang mungkin berada di paras 55 peratus kalangan pengundi Cina,” jelas Ilham Centre.

Kemasukan 869,362 atau 33.5 peratus pengundi baharu menarik perhatian semua pihak untuk melihat ke mana sikap dan pola pengundian mereka dalam PRN Johor.

Ramai yang menaruh harapan kumpulan tersebut mampu membuat keputusan besar serta mengubah landskap politik Johor.

Pengundi baharu berkenaan merupakan pengundi pertama kali yang menjadi pengundi berdaftar secara automatik dalam kalangan pengundi 18 tahun dan ke atas.

“Ramai yang beranggapan bahawa pengundi baharu ini adalah kelompok yang dinamik dan ‘anti establishment’ serta akan menguntungkan pembangkang.

“Namun dalam kajian ini, kami mengenal pasti kecenderungan mereka sebenarnya terlarut dalam budaya setempat, terikat dengan pilihan tradisi keluarga ekoran tidak mempunyai pegangan politik yang kuat,” kata Ilham Centre.

Selain itu, pengundi baharu menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak berperanan sebagai agensi yang mengendalikan proses demokrasi terpenting dalam negara untuk melakukan penerangan dan kempen yang mencukupi untuk menarik minat mereka berpartisipasi dalam pesta demokrasi ini.

Bergelut dengan kehidupan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tumpuan utama pengundi muda ini lebih kepada meneruskan kelangsungan hidup berbanding diheret dalam pertelingkahan parti-parti politik dalam pilihan raya kali ini.

“Kami tidak menolak faktor keluar mengundi pada segmen ini dijangka rendah dan tidak mampu memberikan impak yang signifikan seperti mana yang diharapkan oleh pihak-pihak tertentu untuk membuat perubahan,” jelas Ilham Centre.

Dalam kajian tersebut, Ilham Centre turut meramalkan BN menang sekurang-kurangnya 35 kerusi, PH 10 kerusi manakala 11 kerusi lagi menyaksikan pertembungan sengit antara Perikatan Nasional (PN), BN dan Pakatan Harapan (PH).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *