NAIB Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin memang jarang bercakap tentang isu politik apatah lagi berceramah secara terbuka di depan orang ramai.
Beliau lebih dikenali dengan peranannya sebagai Menteri Kanan Pendidikan dan lebih banyak memberi kenyataan berkenaan kementeriannya.
Tetapi, bila sekali-sekala Radzi diberi kesempatan berceramah, memang pedas dan berapi.
Pada ceramah umum Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau di Bilik Gerakan PN, Padang Endau, Mersing malam tadi, beliau menempelak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib selama ini mendabik dada kononnya beliau yang menyelamatkan Felda namun dakwaan itu disangkal oleh Radzi.
“Dia cerita seolah-olah dialah yang menyelamatkan Felda… pooorah! Sembang,” kata Radzi penuh bersemangat ketika mendedahkan tentang isu pembelian Eagle High Plantations Tbk di Indonesia daripada Kumpulan Rajawali ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa dahulu.
Beliau menyambung: “Apa nak buat? Beli harga 584 rupiah tinggal 83 rupiah hilang nilai 84 peratus. Ini duit siapa? Generasi peneroka, anak-anak mereka, masa depan pewaris Felda.
“Dia kata dia bercerita… eh tak apa, dia ada put option. Ini meniaga ni, meniaga orang atas-atas. Nanti dia bayar bunga enam peratus setahun dia kata.
“Put option ni apa? Maknanya dia kata Eagle High boleh beli balik yang mana Felda ambik tadi.
“Eh, eh, eh, dia kata tak apa untung enam peratus. Dia tak tahu duit yang dia pinjam daripada Kementerian Kewangan itu kena bayar bunga jugak.
“Tolak bunga ni, tolak bunga tu, tinggal berapa sen je untung? Tetapi pada masa yang sama tahun 2019 Felda dah mintak oklah aku dah tak nak pegang dah saham ni.
“Kau ambik baliklah. Kau bagi duit aku RM2.3 bilion. Tapi syarikat tersebut pusing-pusing kata macam-macam. Tak nak bagi balik, masih berunding.
“Di peringkat antarabangsa nak runding supaya tak payahlah dulu. Kami tak nak pulangkan balik RM2.3 bilion ini. Belum sampai masanya lagi.
“Saya risau kalau tempoh put option ini tamat pada Mei tahun depan, saya risau kalau Felda tak dapat balik seperti mana yang dijanjikan.
“Ini kerja manusia yang tidak fikir orang lain. Ini manusia yang fikir bahawa sampai ke sudah rakyat akan menyokong mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, Radzi menyeru semua warga Felda termasuk generasi kedua dan pewaris supaya kembali mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok bagi memastikan UMNO dan BN dapat ditumbangkan di Johor.
Beliau bimbang usaha-usaha pemulihan Felda yang dimulakan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri dahulu digagalkan oleh UMNO dan BN.
Sebaliknya, kata Radzi, jika PN memerintah. peneroka boleh membeli tanah yang untuk membina rumah generasi kedua Felda di Johor dengan membayar premium RM1 setiap kaki persegi sahaja.
Perkara itu terkandung dalam Ikrar PN Untuk Johor yang dilancarkan Muhyiddin baru-baru ini.
Leave a Reply