Lepas 5 kali didenda langgar SOP, Najib tetap tampil di acara sesak

WALAUPUN telah dikenakan lima denda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi muncul di acara yang penuh sesak, malam tadi.

Ahli Parlimen Pekan itu hadir di Medan Selera 988 di pinggir bandar Iskandar Puteri malam tadi untuk berkempen bagi calon MCA Skudai, Lim Soon Hai.

Kira-kira 200 orang, ramai yang berpakaian biru BN dan memegang sepanduk menyokong Lim, telah menunggu Najib di medan selera dan berkerumun di sekelilingnya sebaik dia keluar dari kenderaannya pada 9.40 malam.

Memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi lembaga penasihat BN itu disambut dengan rombongan tarian singa dan kemudiannya diiringi oleh penyokong ke mejanya.

Penyokong mengerumuni meja dan ada yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya.

Najib turut menyampaikan ucapan, dan menggambarkan DAP sebagai parti yang membelakangkan masyarakat Cina.

Lim dari BN berdepan Marina Ibrahim dari DAP dan Khoo Kong Ek dari Perikatan Nasional (PN).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *