TAN Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri memperkenalkan lapan pakej rangsangan yang telah memanfaatkan lebih 20 juta rakyat, serta 2.4 juta premis dan entiti perniagaan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Semua pakej rangsangan itu bernilai RM530 bilion adalah satu tujuan iaitu memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela dan kini Muhyiddin meneruskan khidmat dan bakti PN menerusi Ikrar Perikatan Nasional (PN).
Calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohd Solihan Badri berkata, Ikrar PN yang ditawarkan itu juga berasaskan kepada keperluan terkini rakyat selain perancangan jangka masa panjang bagi jaminan pentadbiran yang lebih efisyen pada masa akan datang.
Mengulas mengenai perkara yang ingin dibawakan PN khusus bagi kawasan ditandinginya, Mohd Solihan berkata, Gambir merupakan lokasi berpotensi untuk dikembangkan dan sentuhan daripada Ikrar PN itu adalah ramuan terbaik untuk pelaksanaanya.
“Wadah ini kita kira adalah platform politik, tetapi sebenarnya apa falsafah perjuangan yang kita PN mahu terapkan. Ia adalah usaha untuk kita buktikan kesungguhan wakil rakyat kita dalam melaksanakan sesuatu.
“Paling utama, perkara yang saya mahu laksanakan di sini (Gambir) adalah ia mestilah merangkumi semua aspek sama ada ekonomi, sosial, kesihatan mahupun pendidikan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Mohd Solihan yang juga Ketua Penerangan PN Johor memberitahu, hasrat pertamanya jika dipilih sebagai wakil rakyat di Gambir adalah meneruskan legasi Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan bekas wakil rakyat di kawasan berkenaan.
“Jadi kalau saya nak kembangkan perkara ini adalah saya mahu meneruskan hasrat Muhyiddin untuk membangunkan Gambir sebagai kawasan industri ringan.
“Sebenarnya keputusan untuk perkara ini telah pun dibuat. Ia akan dilaksanakan cuma ketika ini kita hanya berhadapan dengan isu masih mengenal pasti lokasi sesuai dan tanah yang boleh digunakan,” katanya.
Leave a Reply