rekod endau

Rekod cemerlang ‘Kak Awi’ mampu robek kubu kuat BN

KECEMERLANGAN rekod calon yang diketengahkan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mampu menggugat kubu kuat yang dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN) itu, kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, calon PN yang juga penyandang kerusi berkenaan, Alwiyah Talib, mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat dan diyakini mampu mempertahankan kerusi tersebut bagi meneruskan perancangan yang diusahakan sebelum ini.

Beliau berkata, maklum balas yang diperoleh menunjukkan Alwiyah yang dikenali sebagai ‘Kak Awi’ dalam kalangan penduduk setempat adalah sangat popular kerana banyak usaha yang dilakukan untuk membantu masyarakat.

“Asasnya dia calon yang berkesan, digemari, calon mesra rakyat kerana sepanjang tempoh dia menjadi wakil rakyat sini, dia telah membuktikan perkara yang dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama golongan muda di Dewan Serbaguna Tok Mior, Kampung Air Tawar, Endau hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Alwiyah menang atas tiket BN tetapi kemudian bertindak keluar UMNO dan menyertai Bersatu.

Pada PRN Johor Sabtu ini, Alwiyah akan ditentang Mohd Youzaimi Yusof yang mewakili BN bagi merampas kembali kerusi itu, Mohammad Fakrulradzi Mahmud (Pakatan Harapan), Mohd Noorhisyam Ibrahim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon Bebas Ismail Don. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *