Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG suri rumah kerugian sebanyak RM57,508 setelah terperdaya dengan tawaran untuk bekerja secara dalam talian yang diterimanya menerusi aplikasi Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Supritendan Elias Omar berkata, mangsa yang berusia 24 tahun pada mulanya ternampak iklan tawaran pekerjaan sambilan tersebut yang dipautkan dengan sebuah laman web membeli-belah secara dalam talian.
Katanya, suri rumah itu kemudiannya telah menekan satu pautan yang membawanya untuk menyertai sebuah kumpulan Whatsapp dengan tajuk ‘Group 929 Partimer Assignment’.
“Mangsa kemudiannya diminta untuk berhubung dengan pihak perkhidmatan pelanggan dan diperkenalkan dengan individu bernama ‘Adam’.
“Adam kemudiannya menugaskan mangsa untuk membeli pelbagai barangan menerusi laman web beli-belah itu dan dijanjikan komisen lumayan bagi setiap pembelian dilakukan.
“Setakat ini difahamkan mangsa telah membuat bayaran ke 13 akaun yang berbeza bagi pembelian pelbagai barangan diminta Adam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila dia masih diminta membuat bayaran ke akaun suspek dengan pelbagai alasan walaupun masih tidak menerima komisen dijanjikan.
“Mangsa telah membuat laporan polis pada 8 Mac lalu dan kerta siasatan kemudiannya dibuka dengan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Leave a Reply