SEPERTI kebanyakan anak muda lain di Johor, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, Shazani A Hamid amat membenci rasuah.
Sikap itu menjadikan PN yang sentiasa memberi keutamaan terhadap prinsip integriti dan bersih serasi dengan diri beliau.
“Saya menentang hebat rasuah, mencuri dan merompak ini. Rakyat nampak dan rakyat marah tindakan sebegitu.
“Dari atas sehingga ke akar umbi ada rasuah ini. Maka, saya sebagai orang baharu berharap sangat untuk PN menentang hebat dan berpegang kepada kepimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah serta prihatin kepada rakyat.
“Kami sebagai calon dari PN telah pun membuat akujanji untuk bebas dari rasuah dan menentang kleptokrasi,” katanya seperti dipetik daripada wawancara Utusan TV.
Calon muda berusia 31 tahun yang fasih berbahasa Mandarin itu menyifatkan pengalamannya berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai sangat mencabar.
Beliau dapat melihat rakyat marah dengan situasi yang dihadapi, isu-isu yang masih tergantung dan tiada penyelesaian.
“Memang kena marah malah kena halau. Walaupun bukan kita yang buat tetapi mereka marah dan benci mendengar tentang politik ini disebabkan dengan apa yang mereka lalui.
“Di samping itu, dalam kempen ini boleh berjumpa dengan masyarakat berbilang bangsa dan kaum. Malah, dapat melihat penerimaan mereka yang berbeza-beza. Ada yang positif dan negatif.
“Alhamdulillah, kebanyakannya positif termasuk dari bangsa-bangsa lain. Mungkin kerana saya pandai berbahasa Mandarin,” jelasnya.
Shazani yang lebih mesra dengan panggilan Cik Nani yakin pengundi pelbagai kaum pasti dapat menerimanya.
“Jadi penerimaan dari bangsa Cina, mereka sangat mengalu-alukan calon yang muda dan baharu. Tidak kurang juga yang berbangsa Melayu,” ujarnya.
Leave a Reply