PN pilihan terbaik anak muda Johor

DI satu sudut di kawasan deretan kedai di Taman Pagoh Jaya, seorang remaja Aiman Tosiran tekun membelek telefon pintar untuk mendapatkan siaran secara live program Pentas Anak Muda yang menampilkan pemimpin-pemimpin golongan muda Perikatan Nasional.

Meskipun boleh sahaja mendengar terus ceramah di lokasi, namun kerana sistem audio yang kurang jelas, ditambah jiwa muda yang sememangnya sangat dekat dengan teknologi dan media sosial, Aiman lebih selesa mengikuti menerusi telefon pintarnya.

Berbeza dengan ratusan anak muda lain yang siap memakai baju PN, Aiman hanya mengenakan seluar, kurta dan kopiah, mungkin baru lepas urusan di surau.

“Saja tengok orang,” katanya sebaik disapa sambil menanggalkan sebelah fon telinganya.

Aiman memberitahu, jika Sabtu ini dia keluar mengundi, itu bakal menjadi pengalaman pertamanya menggunakan hak sebagai seorang warganegara memilih pemimpin negeri dan negara.

Sebenarnya Aiman adalah salah seorang daripada 749,731 pengundi berusia 18 tahun yang layak mengundi pada PRN Johor kali ini susulan pendaftaran Undi18.

Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 28 peratus kepada jumlah keseluruhan pengundi PRN Johor yang kini berjumlah kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Namun seperti kebanyakan pengundi muda lain, Aiman juga masih keliru tentang pilihan.

Selain faktor legasi dan keluarga, lambakan maklumat di media sosial dan kempen agresif jentera parti-parti politik di media sosial yang cuba mempengaruhi pandangan golongan muda, menjadikan ramai keliru.

Tidak dinafikan ramai mereka terperangkap dalam persepsi dan sejarah keluarga yang telah menyokong sesebuah parti sejak dahulu lagi.

Dan Aiman tidak terkecuali masih terperangkap dalam pilihan sama ada meneruskan pilihan keluarga atau pun melakukan perubahan mencuba yang baru.

“Itu masalahnya,” kata Aiman bercakap tentang sokongan keluarga khususnya kedua-dua ibu bapa.

Namun Aiman dan lebih 700,000 pengundi muda sebenarnya tidak sukar untuk membuat pilihan jika menyoroti kembali ucapan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari malam tadi.

“Selepas 60 tahun, tidak dinafikan ada kebaikan daripada BN sebelum ini tetapi setakat mana mereka beramanah dan berintegriti dalam mentadbir negara ini.’ ujarnya.

Kisah kerakusan pemimpin BN bukan lagi sekadar kisah di kedai kopi, namun sudah dibicarakan panjang lebar di mahkamah, malah sesetengahnya sudah disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

Tiada lagi rahsia pemimpin BN yang bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa, malah PRN Johor juga bukti BN hanya mementingkan kuasa berbanding survival rakyat.

Justeru Ahmad Fadhli mengingatkan pengundi muda jika mereka menyerahkan sekali lagi masa depan ini kepada golongan yang tidak menghiraukan survival rakyat, maka mereka, golongan muda akan berdosa kepada negeri ini dan menggadaikan masa depan mereka sendiri.

“Justeru kepada adik-adik berumur 18, 19, 20 tahun, bersaksilah bahawa peluang anda untuk memangkah kali pertama tidak akan anda gunakan untuk memangkah penyamun merompak.

“Tidak akan anda gunakan (peluang) mengundi (kali pertama) menggadaikan masa depan negara,” ujarnya sambil menyeru anak muda menjadikan kehadiran di Bukit Kepong malam tadi medan kebangkitan anak muda menolak pemimpin rasuah dan memilih pemimpin berintegriti yang diketengahkan PN.

Mungkinkah Aiman akan menjadi sebahagian kebangkitan anak muda Johor pada PRU Johor kali ini, 12 Mac akan menentukannnya.

Yang pasti Aiman pasti kembali dengan pendirian lebih jelas dan memilih parti yang memberikan tawaran terbaik untuk anak muda Johor seperti Perikatan Nasional.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *