permainan video suri rumah peniaga wang lesap op akaun palsu

2 wanita rugi hampir RM400,000 diperdaya individu menyamar pendakwa raya, ejen insurans

SINDIKET Macau Scam terus mengaut keuntungan di sebalik sekian banyak pendedahan mengenai kegiatan mereka dilaporkan media kali ini melibatkan dua mangsa wanita yang kerugian hampir RM400,000.

Kedua-dua mangsa wanita berasal dari Butterworth, Pulau Pinang itu ditipu sindiket berkenaan sehingga memindahkan wang secara berperingkat sebelum membuat laporan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, kes pertama melibatkan seorang pesara wanita yang kerugian RM148,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai pendakwa raya.

Katanya, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa kononnya dia terlibat dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Sehubungan itu jelasnya, suspek mengarahkan mangsa supaya membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang untuk tujuan siasatan selain mengelakkan wang itu dirampas.

“Mangsa akur dengan arahan suspek itu sebelum menyedari wang simpanan miliknya dikeluarkan secara berperingkat selepas memberikan maklumat perbankan kepada suspek,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Radzi berkata, kes kedua membabitkan seorang wanita menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa ejen insurans yang memaklumkan dia mempunyai kes tuntutan palsu insurans selain terbabit dalam kes dadah.

Jelasnya, suspek meyakinkan mangsa untuk mengaktifkan semula akaun bank miliknya dan memasukkan wang jaminan sebanyak RM280,000 untuk mengelakkannya daripada ditangkap.

“Mangsa yang akur dengan arahan itu hanya menyedari dia ditipu apabila cuba meminjam baki wang jaminan sebanyak RM37,500 daripada ahli keluarga selepas memasukkan RM242,500 ke dalam akaun terbabit.

“Mangsa juga mendapati wang yang dimasukkan ke akaun baharu telah dikeluarkan secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *