Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG anggota tentera maut dan empat cedera dua selepas lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 16, Jalan Penawar-Punggai, Kota Tinggi, hari ini.
Kemalangan pada pukul 3.40 petang itu berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari Pos Tanjung Leman, Mersing ke Pos Tanjung Sepang, Pengerang dekat Kota Tinggi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora, kemalangan itu mengakibatkan seorang anggota tentera berusia 23 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan seorang pegawai dan empat anggota tentera. Dua lagi anggota tentera cedera ringan manakala dua lagi anggota tentera cedera parah dan menerima rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi.
“Semua mereka yang cedera berusia antara 22 hingga 38 tahun. Siasatan awal mendapati punca kemalangan berlaku dipercayai gagal memotong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihaknya masih lagi dalam peringkat siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan kematian anggota tentera berkenaan.
Katanya, kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi arahan lalu lintas di jalan raya,” katanya.
habis
Leave a Reply