Pengunjung menari, abai SOP:KKMM tidak kenakan sebarang tindakan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TIADA sebarang tindakan akan diambil Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) terhadap pengunjung Program RIUH EK! Keluarga Malaysia di Ayer Hitam, Batu Pahat yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, langkah KKMM tidak mengambil tindakan itu adalah selari dengan dasar keterbukaan media yang diamalkan pada ketika ini.

Sebaliknya pihak KKMM akan memberi nasihat sahaja dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan berharap insiden itu yang kemudian tular dalam media sosial tidak berulang.

“Program RIUH EK! ialah program yang kita adakan bagi meningkatkan industri kreatif dalam kalangan rakyat sebagai salah satu pendapatan untuk tingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Tetapi program yang baru-baru ini kita lihat mendapat sambutan yang cukup hebat, jadi masalah apabila anak muda terlebih seronok akibat terpendam lama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Covid-19.

“Ini menyebabkan berlaku perkara yang di luar kawalan dan melanggar SOP. Oleh itu, kita nasihatkan supaya perkara ini dapat dikawal dan kalau ada tindakan luar kawalan, itu kita serah pada polis untuk mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, hari ini.

Video yang tular baru-baru ini menunjukkan aksi sekumpulan anak muda dalam program itu yang berseronok termasuk menyanyi dan menari tanpa mempedulikan penjarakan sosial dan tanpa menghiraukan SOP.

Program anjuran kementerian itu yang diadakan selama tiga hari sehingga Isnin bertujuan memperkasa dan mendukung usahawan kreatif serta pengamal seni tempatan.

Program RIUH EK! Keluarga Malaysia itu dijangka akan diteruskan lagi membabitkan 14 siri jelajah di seluruh negara.

Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, program berkenaan itu bagi memberi hiburan serta meningkatkan industri kreatif seterusnya meningkatkan aktiviti seni dalam negara.

Menurutnya, apabila video tersebut tular terdapat individu mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan mengganggu ketenteraman awam.

“Walaupun kita mendapat ribuan aduan mengenai mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, menghina pemimpin dan sebagainya, kebanyakannya kita hanya berikan nasihat,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *