PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Maran mempersoalkan mengapa Barisan Nasional (BN) tidak berani mengarahkan semua 56 calon gabungan tersebut yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menandatangani ikrar integriti dan bebas rasuah.
Bahagian Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, BN seharusnya berani berbuat demikian seperti dilaksanakan Perikatan Nasional (PN) bagi membuktikan kesungguhan menentang rasuah.
“Hanya PN berani mengarahkan semua 56 calonnya pada PRN Johor menandatangani ikrar integriti dan bebas rasuah manakala parti lain termasuk BN dan Pakatan Harapan (PH) mahu pun Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum berbuat demikian.
“Bayangkan bagaimana calon BN mahu menandatangani ikrar itu disaksikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi dan Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang terbabit dengan pelbagai kes di mahkamah.
“Jadi, rakyat khususnya di Johor kena faham, PRN berkenaan diadakan iaitu tidak lain tidak bukan kerajaan BN/UMNO mahu kembali berkuasa dan mahu membebaskan pemimpin mereka terutamanya yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasri berkata, keputusan terbaik harus dibuat rakyat Johor dengan mengundi calon PN yang sudah menandatangani ikrar integriti dan bebas rasuah.
Katanya, ia penting bagi memastikan masa depan anak cucu pengundi dan bangsa Johor lebih terjamin dan bebas daripada amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa daripada berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.
“Kalau pemimpin atasan terbabit dengan rasuah maka orang bawahan dan pemimpin akar umbi turut akan terpalit seperti kata pepatah Melayu ‘macam mana ketam mahu mengajar anaknya berjalan lurus tetapi ia sendiri mengikut laluan salah’,” katanya.
Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa BN akan mengadakan satu lagi PRN di Perak jika mereka meraih kemenangan bergaya di Johor, pada 12 Mac nanti.
“Saya juga melihat kemenangan PRN Johor akan menjadi sebab kukuh untuk BN/UMNO mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus membolehkan mereka kembali berkuasa penuh di Putrajaya dan membebaskan Geng Kluster Mahkamah dari kes masing-masing,” katanya.
Leave a Reply