Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Uzzair Ismail berazam menangani isu penghijrahan anak-anak muda dan lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) di kawasan itu.
Menurut Uzzair, ketika ini mereka terpaksa berhijrah untuk mencari peluang pekerjaan serta membina kehidupan baharu di luar.
“Rata-rata mereka keluar dan membina kehidupan baharu di Johor Bahru serta Kuala Lumpur atau bandar lain yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.
“Untuk tempoh jangka panjang, penghijrahan mereka merugikan kepada keseluruhan proses pembangunan sosioekonomi di DUN Pemanis kerana kemahiran serta bidang khusus yang mereka miliki sepatutnya digembleng untuk membangun serta mensejahterakan penduduk kawasan ini.
“Bagaimanapun, soal peluang pekerjaan yang terhad atau tiada di DUN Pemanis memaksa mereka berhijrah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru katanya, PN mahu mengubah keadaan itu dengan membawa lebih banyak pembangunan dan peluang ekonomi termasuk perniagaan, perusahaan dan perkhidmatan yang boleh mereka ceburi di tempat sendiri.
Katanya, itu semua dapat dilakukan apabila Ikrar PN yang melibatkan lapan tunjang, 24 strategi serta 145 pendekatan dilaksanakan nanti selepas menang PRN Johor.
“Saya melihat situasi ini menerusi kaca mata golongan muda dan dapat mengesan banyak lagi potensi, ruang dan sumber yang boleh dimanfaatkan mahupun ditambah nilai untuk menjana peluang pekerjaan serta pendapatan,” katanya.
Mengenai pertembungan empat penjuru bagi kerusi DUN Pemanis pada PRN Johor, beliau akan berdepan saingan calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
“Selaku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sekijang, saya diberikan kepercayaan pucuk pimpinan PN untuk bertanding di DUN Pemanis berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh parti.
“Kedudukan saya sebagai aktivis parti dan masyarakat, serta ahli perniagaan adalah platform yang membuatkan dikenali serta disenangi di kalangan masyarakat di sekitar Parlimen Sekijang,” katanya.
Menjelang hari mengundi pada 12 Mac ini, beliau merayu dan mengajak pengundi di DUN Pemanis termasuk golongan muda untuk bersama-sama bangkit menolak parti yang terpalit rasuah.
Sebaliknya mengangkat kerajaan PN yang memberi ikrar kepada pelaksanaan pembangunan yang adil untuk seluruh rakyat Johor, katanya.
Leave a Reply