kerajaan sempadan

Tiada alasan kerajaan lengah buka sempadan negara

TAN Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) sekali lagi menggesa agar kerajaan membuka sempadan negara sepenuhnya sekarang seperti yang disyorkan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Beliau yang juga Pengerusi MPN berkata, tiada alasan untuk kerajaan tidak melaksanakan syor pembukaan sempadan negara tersebut.

“MPN telah mencadangkan supaya pembukaan sempadan negara sepenuhnya dilaksanakan mulai awal Mac dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan supaya industri pelancongan, perdagangan dan sektor ekonomi yang berkaitan dapat dirancakkan kembali.

“Saya tidak nampak alasan kenapa keputusan membuka sempadan ini hendak dilengah-lengahkan lagi, sedangkan negara-negara lain yang program vaksinasinya tidak sehebat negara kita sudah pun berbuat demikian,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Muhyiddin menambah, Pelan Pemulihan Negara telah meletakkan proses pemulihan pada landasan yang betul dengan tiga aspek pemulihan iaitu pemulihan jumlah pengeluaran, pemulihan jumlah pekerjaan dan kualiti hidup.

Beliau memberitahu, aspek kedua dan ketiga memerlukan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Ini saya istilahkan sebagai `Recovery Plus Plus (Recovery++). Recovery++ ini memerlukan polisi dan program yang mantap berteraskan kepada pelaburan yang berkualiti, produktiviti yang tinggi serta penciptaan dan peluasan perdagangan agar pertumbuhan ekonomi bagi tempoh 2023 – 2025 dan seterusnya, mantap dan mampan.

“Jika tidak, kita mungkin terperangkap dalam `double-dipped growth’, iaitu pertumbuhan ekonomi yang merosot dua kali, atau istilah ekonominya disebut W-shaped Recovery,” jelasnya.

Muhyiddin telah mengesyorkan kepada kerajaan supaya memulakan segera agenda Pelan Pemulihan Negara 2.0 (PPN 2.0) yang mempunyai dasar dan strategi yang sesuai serta tuntas dengan berpaksikan, ‘quality investment, high productivity, and trade creation’.

“Saya mengesyorkan agar PPN 2.0 yang terasnya adalah Recovery++ perlulah bersifat inklusif dan melibatkan pihak-pihak berkepentingan melalui pendekatan bersepadu seluruh negara atau, `whole of nation approach’,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa usaha-usaha pemulihan perlulah bersifat luar biasa, ‘out of the box’ dan ‘surpetition’ bagi mewujudkan pertumbuhan yang mantap dan gemilang serta mampu meletakkan Malaysia kembali di landasan yang betul untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

“Usaha-usaha pemulihan ekonomi ini juga mestilah dilaksanakan secara bertanggungjawab oleh kepimpinan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *