Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Tazul Arifin Nasri nekad melakukan pembaharuan di kawasan tersebut jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, terdapat lima perkara yang menjadi teras manifesto yang ditawarkan khusus untuk DUN Permas.
“Pertama adalah memastikan kebajikan rakyat di DUN Permas mendapat pembelaan sewajarnya bersesuaian dengan permasahalahan mereka.
“Kita juga akan memastikan wakil Sabah dan Sarawak di DUN Permas mempunyai tempat dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan mereka mengenengahkan permasahalanan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di bilik gerakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Gudang, Bandar Seri Alam, PAsir Gudang hari ini.
Tazul Arifin tidak mahu mereka yang datang dari dua negeri itu merasa terpinggir apabila berada di Pasir Gudang.
Perkara kedua katanya, akan melakukan pemerkasaan ekonomi antaranya melibatkan penternakan akuakultur, perikanan, perusahaan makanan laut dan pelancongan akan terus berkembang dan terbela.
“Mengadakan siri siri kursus keusahawanan maya kepada peniaga kecil sederhana (PKS) terutamanya bagi golongan wanita untuk menambah kemahiran dalam perniagaan dengan bantuan agensi agensi yang berkenaan.
“Ini termasuk mempromosikan dan menaik taraf Pasar Borneo dan Pasar Muafakat sebagai sebuah pusat tarikan pelancong. kita juga menyokong sebarang usaha untuk mengubah wajah kawasan perniagaan di bandar Masai agar menjadi sumber tarikan pelancong,” katanya.
Sementara perkara ketiga yang akan dilakukan selari dengan ikrar tersebut, beliau berkata, proses kemampanan perancangan akan dilakukan dengan mengekalkan kampung-kampung yang mempunyai geran dan dipastikan segala fasiliti mencukupi serta diselenggara dengan baik.
“Perkara keempat pula melibatkan kelestarian alam sekitar iaitu dengan menyokong dan menegakkan sebarang usaha pembangunan industri berteknologi tinggi yang boleh mengatasi masaalah pencemaran,” katanya.
Jelasnya, ini termasuk memastikan sungai-sungai dalam Pasir Gudang mendapat perhatian sewajarnya agar tidak dicemari dengan sisa toksik melalui kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan.
Tambahnya, ini juga bagi memastikan sebarang penambakan tanah laut atau penerokaan hutan bakau tidak menganggu ekosistem sedia ada.
Kata Tazul Arifin lagi, perkara kelima pula adalah menitikberatkan aspek kerohanian iaitu dengan mengadakan program ilmu bersifat
kerohanian dengan bantuan agensi kerajaan dan pihak swasta.
Leave a Reply