Rafiq Naizamohideen telefon bimbit

Larang bawa telefon bimbit ketika mengundi – Rafiq

NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penguatkuasaan lebih ketat semasa proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, ini termasuk mengeluarkan larangan membawa masuk telefon bimbit ke dalam pusat pengundian pada 12 Mac ini.

Astro Awani melaporkan, Mohd. Rafiq mencadangkan mekanisme itu dilaksanakan bagi mengelak senario ‘sogokan’ dengan cara mengambil gambar kertas undi seperti yang didakwanya berlaku pada PRN Melaka, November tahun lalu.

“Saya minta SPR untuk cari satu mekanisme kerana saya hendak beritahu secara terus terang, pada PRN Melaka lalu, sesiapa yang tunjuk kertas undi, dapat sejumlah wang daripada parti tertentu.

“Saya ada bukti rakaman video perbualan telefon antara jentera parti politik itu, meminta pengundi ambil gambar dan ditunjuk kepada jentera, supaya dapat dituntut wang RM200.

“Jadi, ini satu perkara yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya. Bukan sahaja pemberian wang itu melanggar Akta SPR, tetapi tindakan mengambil gambar kertas undi itu juga menjadi satu kesalahan,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Parit Jawa, Muar, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPRM juga perlu masuk campur dan memantau perjalanan proses pengundian PRN Johor.

“Saya mohon sokongan daripada semua pemimpin politik supaya menjaga kerahsiaan.

“Kalau SPR tak mampu tempatkan petugas untuk pantau proses pengundian supaya tidak ada tindakan mengambil gambar undi itu, ketatkan prosedur operasi standard (SOP) supaya tidak perlu bawa telefon pintar di tempat pembuangan undi.

“Saya mohon SPRM juga untuk memantau dengan lebih ketat proses-proses pembelian undi ini menjelang PRN Johor, yang saya yakin ia akan semakin rancak, untuk merasuah para pengundi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *