PN

Lelaki menyamar ‘penguat kuasa wanita SPR’ sabotaj kempen PN

KURANG seminggu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan berlangsung dan calon-calon Perikatan Nasional (PN) menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada Bangsa Johor.

Perkembangan yang luar biasa itu menyaksikan kebangkitan Bangsa Johor yang inginkan perubahan dan bebas daripada cengkaman UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Mereka juga tidak mahu kembali mengalami igauan ngeri hidup menderita di bawah kekuasaan rejim Pakatan Harapan (PH).

Namun, pihak lawan dipercayai cuba menggunakan taktik kotor bagi mensabotaj kempen yang dianjurkan PN di Johor.

Seperti yang didedahkan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi, pihak lawan tergamak menggunakan beberapa individu untuk menyamar sebagai ‘penguat kuasa Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR)’.

Beliau berkata, insiden memalukan itu berlaku pada program anjuran PN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani malam kelmarin.

“Saya duk mempengerusi majlis kat atas. Ada pulak dua tiga orang perasan kenapa saya duk pandang kiri dan kanan.

“Saya duk nampak kat belakang tu ada dua tiga orang masuk. Dan apabila dua tiga orang masuk ni dia macam duk tercari-cari sana sini, macam nak buat kacau sikit.

“Tapi pakai baju penguat kuasa. Dan apabila saya duk nampak kat belakang tu saya bagitau tengok apa tengah jadi tu.

“Rupa-rupanya ada dua orang datang dan mengatakan mereka mewakili SPR, mengarahkan supaya program kita dihentikan serta-merta.

“Bila diperiksa betul-betul oleh pegawai-pegawai kita, pembantu-pembantu, petugas-petugas kita, rupa-rupanya yang datang tu dah la berjanggut berjambang rambut panjang tapi kad kuasanya namanya ‘Halina’.

“Nama ayu, gambarnya putih melepak tapi datang lelaki, kad kuasa perempuan,” katanya dengan disambut gelak ketawa daripada hadirin.

Sehubungan itu, Wan Saiful mengingatkan pihak lawan agar ‘menyambung wayar otak’ mereka betul-betul kalau ingin mensabotaj program kempen PN.

“Jangan datang sini, datang program kita dengan niat tak baik. Bukan sekali, berkali-kali sebelum ini pun ada lagi,”

Beliau turut menerima laporan dan gambar-gambar daripada Bilik Gerakan Utama PN tentang insiden tersebut.

Antara kegiatan sabotaj yang dilakukan termasuk menjatuhkan dan mengoyakkan poster PN serta menampal kain putih dengan tulisan ‘Rakyat Johot tolak PN’ pada kain rentang PN.

“Ini adalah kerja-kerja yang umurnya puluhan tahun. Bagi saya, ini menunjukkan bahawa di sebelah sana sedang bimbang dengan kebangkitan rakyat Johor,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *