MUKADIMAH

Sambutan Hari Wanita 2022 untuk tahun ini cukup bermakna dan bererti bagi Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun yang memimpin kementerian itu setelah dua tahun berturut-turut sambutan Hari Wanita terpaksa disambut secara dalam talian di mana banyak acara dan program terpaksa ditangguhkan, disebabkan pandemik COVID-19.

Sambutan tahun ini yang bertemakan ‘Saksama Bersama’ akan disambut secara meriah secara fizikal tetapi secara terkawal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula dari 6 hingga 8 Mac. Rina yakin dan optimis sambutan tahun ini dapat menjadi pemangkin ke arah usaha menggemilangkan dan memartabatkan lagi usaha pemerkasaan wanita yang menjadi salah satu misi penting KPWKM.

Berikut adalah wawancara penuh bersama beliau :

BOLEH DATUK SERI TERANGKAN APAKAH TEMA SAMBUTAN HARI WANITA 2022 DAN KENAPA TEMA TERSEBUT DIPILIH?

RINA : Hari Wanita bukan sahaja disambut sebagai tanda apresiasi terhadap sumbangan wanita tetapi ia juga merupakan hari untuk kita membuat refleksi terhadap pencapaian mereka, serta menyeru semua pihak untuk sama-sama membantu usaha pemerkasaan wanita. Tahun 2022, sambutan hari Wanita akan menggunakan tema ‘Saksama Bersama’.

Tema ini dipilih untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh masyarakat terhadap ketaksamaan terhadap wanita di Malaysia, seterusnya menggalakkan segenap lapisan memainkan peranan dalam merapatkan jurang ketaksamaan tersebut. Perkataan ‘Saksama’ dalam tema tersebut, sinonim dengan adil iaitu bermaksud meletakkan sesuatu pada haknya. Manakala ‘Bersama’ adalah merujuk kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, yang memberi tumpuan kepada kemakmuran bersama melalui penstrukturan semula ekonomi, merapatkan jurang besar antara golongan kaya dan sangat miskin.

Kemakmuran itu kemudian dikongsi dengan cara lebih adil dan saksama secara inklusif, meliputi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengesampingkan wanita mahupun lelaki, seterusnya memberikan peluang dalam kalangan rakyat secara aktif mengambil bahagian dalam proses penciptaan kekayaan baharu.

Malaysia akan terus mengalami pertumbuhan mampan dan saksama di setiap peringkat rantaian nilai, tanpa mengira kelas, bangsa dan lokasi geografi. Ini akan mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pemilihan tema ‘Saksama Bersama’ pada tahun ini juga telah kita sesuaikan dengan konteks semasa dalam negara, yang mana masih terdapat beberapa halangan yang perlu ditangani dalam usaha kita mengangkat martabat wanita dan membawa wanita ke puncak yang lebih tinggi.

BOLEH JELASKAN LEBIH LANJUT MENGENAI ‘SEMANGAT KESAKSAMAAN’?

RINA : Tema ini juga menekankan semangat kesaksamaan dalam usaha memperkasakan wanita, bagi mendapat ruang dan peluang yang adil untuk memajukan potensi diri ke arah kehidupan yang lebih bermakna dan sejahtera.

Tema ini juga selari dengan tema yang dipilih di peringkat antarabangsa iaitu Gender Equality Today For A Sustainable Tomorrow. Matlamat jangka panjang untuk memecahkan ketaksamaan ini ialah mewujudkan dunia yang meraikan kepelbagaian, kesaksamaan serta keterangkuman untuk semua lapisan masyarakat, di mana kelebihan dan kekurangan individu diraikan secara inklusif atau dengan erti kata lain ‘Saksama Bersama’.

Malaysia tanpa mengesampingkan wanita mahupun lelaki, seterusnya memberikan peluang dalam kalangan rakyat secara aktif mengambil bahagian dalam proses penciptaan kekayaan baharu. Malaysia akan terus mengalami pertumbuhan mampan dan saksama di setiap peringkat rantaian nilai, tanpa mengira kelas, bangsa dan lokasi geografi. Ini akan mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) tahun 2020, pencapaian wanita telah melebihi lelaki dalam sub-indeks Pencapaian Pendidikan dengan skor 1.059. Sub-indeks Kesihatan dan Kehidupan mencatatkan skor 0.956, diikuti sub-indeks Peluang dan Penyertaan Ekonomi (skor 0.738). Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita masih rendah iaitu 55.3 peratus pada tahun 2020 jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura (69.7%) dan Thailand (66.8%). Secara amnya, KPTB wanita bagi negara membangun melebihi 60 peratus. Penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 0.100 yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan menteri dan parlimen. (nota: skor dengan nilai 1.0 atau 100% menunjukkan kesaksamaan antara wanita dan lelaki telah tercapai dalam sub indeks-sub indeks tersebut).

Saban tahun kita pada kebiasaannya akan mengadakan Sambutan Hari Wanita dua kali iaitu pada 8 Mac di peringkat antarabangsa dan pada 25 Ogos di peringkat kebangsaan. Tahun ini, kementerian mengambil keputusan untuk menyambutnya secara bersekali iaitu pada 8 Mac.

KPWKM MERUPAKAN KEMENTERIAN YANG BERTANGGUNGJAWAB MEMPERKASA GOLONGAN WANITA DI MALAYSIA. BOLEH DATUK SERI TERANGKAN APAKAH USAHA-USAHA YANG DILAKSANAKAN OLEH KEMENTERIAN BAGI TUJUAN BERKENAAN?

RINA : Wanita Malaysia membentuk 48.5 peratus daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk negara. Tidak dapat dinafikan, sekiranya potensi mereka diupayakan sepenuhnya, mereka boleh menyumbang dan menyertai usaha-usaha pembangunan negara dalam aspek ekonomi, politik, budaya dan sosial dengan lebih efektif.

Tetapi melihatkan kepada laporan-laporan berkaitan jurang gender dalam negara dan juga perbandingan dengan negara-negara luar, nampaknya banyak lagi yang kita perlu perjuangkan. Sebagai contoh, jika dilihat kepada skor keseluruhan di bawah Global Gender Gap Indeks yang dikeluarkan World Economic Forum (WEF) 2020, didapati Malaysia berada di tangga ke-104 daripada 153 buah negara dan berada di tangga kesembilan dalam kalangan negara ASEAN. Ini merupakan salah satu indikator untuk kita melihat pencapaian wanita dalam negara.

Oleh itu, dalam menyentuh usaha-usaha memartabatkan wanita, kementerian ini tanpa lelah sentiasa berkerja keras dari semasa ke semasa mengajak semua pihak untuk sama-sama mempunyai rasa kepunyaan atau kemilikan bersama terhadap isu-isu wanita. Kita perlu bersuara. Kita perlu nyatakan pendirian kita. Kementerian sentiasa bersedia menerima cadangan, pandangan ataupun idea yang yang konstruktif.

BOLEH JELASKAN LEBIH LANJUT LAGI KOMITMEN KEMENTERIAN?

RINA : Komitmen untuk memperkasa wanita ini telah lama kita rekodkan melalui beberapa dokumen antarabangsa termasuklah di bawah Matlamat Pembangunan Mampan, Konvensyen Untuk Menghapuskan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) serta Deklarasi dan Pelan Tindakan Beijing yang telah kita terjemahkan dalam Dasar Wanita Negara.

Berasaskan kepada premis ini, kementerian sentiasa mengajak semua pihak untuk memastikan agar sebarang penggubalan polisi dan pelaksanaan program haruslah berasaskan lensa gender, dan perkara ini sentiasa diangkat dalam mana-mana sesi libat urus, perjumpaan, ulasan yang diberikan oleh KPWKM. Ini termasuklah memberikan kepentingan terhadap bajet yang responsif gender, yang kementerian ini turut perjuangkan bersama-sama dengan Kementerian Kewangan dalam penyediaan bajet tahunan semua Kementerian.

Justeru, berasaskan kepada premis ini, pelbagai inisiatif telah pun diumumkan oleh kerajaan yang memberi manfaat kepada wanita dan yang terkini adalah melalui pelbagai inisiatif yang diumumkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sama ada di bawah pakej PENJANA, PRIHATIN ataupun PERMAI.

Dalam konteks KWPKM, saya ingin berkongsi inisiatif utama dan terkini semasa kita berhadapan dengan pandemik COVIC-19. Ini termasuklah kepentingan mewujudkan enabling environment dalam meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan.

KPWKM menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk golongan wanita. Sepanjang tahun 2021, sebanyak 1,906 program khusus untuk wanita melibatkan seramai 856,323 orang telah dilaksanakan sebagai bukti kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperkasa wanita dalam pelbagai bidang. Antara program-program yang telah dilaksanakan ialah Pusat Aktiviti Wanita (PAW), Klinik Undang-Undang, E-Rezeki, Youngwomen Bootcamp, Skuad Waja (EVAW), Wanita dan Kepimpinan dan Klinik De Stress.

Usaha memperkasa wanita ini bukan terletak di bahu KPWKM semata-mata. Pendekatan whole of government, whole of society dan whole of nation amat penting dalam merealisasikan usaha-usaha pemerkasaan wanita. Kementerian akan menumpukan kepada kerjasama strategik dengan semua pihak yang berbidang kuasa untuk menyediakan sumber dan peluang yang lebih banyak kepada wanita.

KPWKM telah melaksanakan program pemerkasaan wanita dengan kerjasama lebih 20 Kementerian dan agensi lain. Antaranya ialah dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang melaksanakan Program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Program TemanNita dengan kerjasama Tekun Nasional (TEKUN). Program ini menawarkan inisiatif bimbingan, latihan dan peluang pembiayaan perniagaan kepada wanita yang berminat.

BANYAK YANG TELAH DILAKSANAKAN OLEH KERAJAAN DAN KPWKM UNTUK MEMBANTU MEMPERKASA WANITA. APA LAGI USAHA YANG BAKAL DILAKSANAKAN OLEH KEMENTERIAN PADA TAHUN 2022?

RINA : Kita perlu akui masih banyak perkara yang perlu diberikan tumpuan dalam usaha memperkasakan wanita. Dalam hal ini saya ingin mengajak untuk kita semua melihat kepada fakta dan senario yang masih lagi berlegar di depan mata kita.

Kementerian akan memperjuangkan agenda untuk mengangkat lebih ramai wanita sebagai pembuat keputusan. Dalam hal ini, kementerian yakin, dengan menggunakan strategi men as allies, akan dapat membantu usaha-usaha ini. isu kepemimpinan wanita masih belum disambut sepenuhnya oleh semua pihak.

Walaupun statistik wanita sebagai pembuat keputusan di sektor awam telah melebihi sasaran 30% dengan angka 37.3 % pada tahun 2020, tetapi ia tidak harus terhenti di situ sahaja.

Di sektor swasta pula menunjukkan hanya terdapat 17.2% wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, dan perkara ini perlu diberikan perhatian. Seruan untuk memastikan peningkatan wanita sebagai pembuat keputusan ini bukanlah sebagai halwa mata yang melihat kepada peningkatan angka.

Tetapi beberapa kajian telah membuktikan bahawa penyertaan wanita boleh menyumbang kepada tadbir urus organisasi yang lebih baik. Paling penting adalah, wanita boleh menyuntik diversity dalam proses membuat keputusan bagi memastikan keperluan wanita di lapangan diambil kira.

Kementerian juga akan terus menumpukan kepada usaha meningkatkan bilangan wanita yang berkerjaya termasuklah dengan menerapkan kepentingan shared responsibility antara pasangan suami isteri. Kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh adalah pada tahap 55.6 peratus berbanding 80.8 peratus penyertaan lelaki.

Fakta ini wajar kita berikan perhatian bila mana ia tidak selari dengan enrolmen kasar wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah dan tertiari yang lebih tinggi berbanding lelaki tetapi angka ini menurun dalam kadar penyertaan pasaran buruh. Justeru, kementerian melihat isu enabling environment mesti diperkukuhkan.

Dalam hal ini, peranan semua pihak sama ada di sektor awam dan sektor swasta amat diperlukan termasuklah memastikan kemudahan di tempat kerja yang menyokong motherhood kerana kajian juga menunjukkan rata-rata wanita tidak terlibat dalam sektor pekerjaan selepas bersalin kerana memberikan tumpuan kepada penjagaan anak. Tidak kurang juga yang mendedikasikan waktunya menjaga ahli keluarga yang sakit dan berusia.

BAGAIMANA PULA DENGAN PROSES RANG UNDANG-UNDANG ANTIGANGGUAN SEKSUAL ? BOLEH KONGSI MAKLUMAT TERKINI ?

RINA : Kementerian ini akan menumpukan kepada usaha menggubal perundangan berkaitan gangguan seksual yang bukan sahaja melindungi wanita tetapi juga lelaki. Perlu saya tekankan di sini Kementerian telah membuat persiapan rapi dan sudah bersedia membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual pada mesyuarat Parlimen bagi penggal kelima yang sedang berlangsung ketika ini, untuk bacaan kali kedua selepas bacaan kali pertama pada 15 Dis lepas.

Saya juga nak tekankan di sini bagi tujuan penggubalan rang undang-undang tersebut, kementerian telah menubuhkan Pasukan Projek Khas (SPT) membabitkan agensi kerajaan antaranya Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, JAKIM, ahli akademik dan badan-badan bukan kerajaan yang memiliki kepakatan, pengetahuan serta pengalaman luas berkenaan gangguan seksual. Sesi libat urus akan diteruskan.

Kementerian sudah mengaturkan beberapa program sesi libat urus sepanjang bulan ini termasuk bersama Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang termasuk juga dengan pihak media. Ruang penambahbaikan masih ada.

Tidak dapat dinafikan, wanita cenderung menjadi mangsa diskriminasi dan objek melemparkan kemarahan dan juga eksploitasi. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua masyarakat untuk cakna dengan persekitaran, dengan tampil membuat laporan sekiranya menyedari ada rakan-rakan atau jiran-jiran kita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Hubungilah Talian Kasih 15999 atau boleh juga melalui aplikasi Whatsapp di nombor 019-26 15999. Masyarakat juga boleh terus membuat laporan terus kepada pihak PDRM.

Saya nak tambah sikit, KPWKM juga menjalin kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), untuk membantu wanita yang menjadi mangsa mendapatkan perlindungan sementara di masjid atau di asrama. Masjid di Wilayah Persekutuan sudah bersetuju untuk menjadi transit bagi mangsa-mangsa tersebut.

JAWI juga telah memberi laluan kepada kita untuk memberi pertolongan bukan hanya kepada mangsa yang beragama Islam tetapi juga bukan Islam. Selain itu, JAWI juga akan bekerjasama dengan Baitulmal untuk memberi perlindungan sementara di asrama mereka kepada mangsa keganasan.

BAGAIMANA DENGAN PERKEMBANGAN ‘SKUAD WAJA’ ?

RINA : KPWKM juga turut menyarankan wanita khususnya dan golongan lelaki menyertai Skuad Waja, sebagai langkah mengurangkan pelbagai isu membelenggu wanita seperti keganasan rumah tangga, gangguan seksual, diskriminasi gender dan sebagainya. Skuad Waja merupakan inisiatif KPWKM untuk melindungi golongan yang sering menjadi mangsa keganasan terutama wanita.

Ia berperanan sebagai rujukan terdekat dalam masyarakat khasnya individu yang ingin mendapatkan maklumat mengenai isu-isu berkaitan keganasan atau yang memerlukan bantuan dari segi khidmat nasihat dan perlindungan. Inisiatif ini sekali gus dapat mewujudkan komuniti yang bermaklumat, prihatin dan peka terhadap persekitaran.

Semua ahli akan dibimbing melalui Modul Skuad Waja yang dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Institusi Sosial Malaysia (ISM). Sehingga 3 Feb 2022, seramai 123,721 orang telah mendaftar sebagai ahli Skuad Waja terdiri 12,360 orang lelaki manakala 111,361 orang wanita.

DATUK SERI SERING MEMBERI PENEKANAN TERHADAP PROGRAM ‘WANITA BANGKIT’, BAGAIMANA IMPAKNYA ?

RINA: Saya dapat ilham memulakan program Bangkit Wanita at KPWKM ketika musim pandemik COVID-19 ketika saya turun padang mengedarkan bakul makanan untuk rakyat yang terkesan. Ketika itu saya dapat menyelami, melihat dan merasai ‘kisah benar’ kehidupan rakyat khususnya wanita-wanita yang terkesan teruk akibat serangan COVID-19. Saya tidak dapat menggambarkan situasi tersebut. Cukup menyedihkan.

Justeru, saya merasakan sudah tiba masanya satu program digerakkan bertujuan untuk membina satu platform yang dapat menghubungkan kumpulan sasar wanita yang terjejas, berikutan pandemik COVID-19. Inisiatif Wanita [email protected] ini membantu golongan wanita menjana pendapatan bagi memperkukuhkan sistem sokongan terutamanya dalam bidang ekonomi, menghubungkan wanita dengan peluang pekerjaan yang ada (sektor formal) dan mendedahkan serta menghubungkan wanita kepada peluang perniagaan dan keusahawanan (sektor informal).

Program ini menyasarkan 2,000 orang wanita dapat menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan, bagi tempoh 100 hari bermula 1 Sept 2021 sehingga 31 Dis 2021, seramai 5,135 orang wanita berjaya dibantu, di mana 4,541 orang wanita telah mendapat peluang menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan/keusahawanan (sektor informal), manakala 594 orang wanita ditawarkan pekerjaan dalam sektor formal.

SEMPENA DENGAN SAMBUTAN HARI WANITA 2022, APAKAH AKTIVITI YANG DILAKSANAKAN OLEH KEMENTERIAN UNTUK MEMERIAHKAN SAMBUTAN KALI INI DAN ADAKAH SEBARANG PENGIKTIRAFAN DIBERIKAN?

Pada tahun ini, KPWKM ingin mengajak semua rakyat Malaysia untuk turut sama meraikan serta menyertai Sambutan Hari Wanita 2022 peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) mulai 6 hingga 8 Mac 2022. Pelbagai acara menarik telah disusun rapi bagi meraikan sambutan tersebut, meliputi pameran oleh agensi kerajaan, korporat dan NGO, jualan dan pameran produk oleh usahawan wanita, Karnival Kerjaya oleh majikan yang mengambil bahagian, pameran kejayaan wanita dan juga sesi perkongsian maklumat dan motivasi daripada pelbagai pihak.

Antara lain, sambutan pada kali ini juga adalah satu platform untuk menyediakan; peluang kepada wanita menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan dan perniagaan; pusat setempat yang menggabungkan semua kementerian dan agensi kerajaan, korporat serta badan bukan kerajaan yang menawarkan perkhidmatan khusus untuk wanita; dan peluang menyertai aktiviti sukarela dalam memastikan kesaksamaan bersama.

Acara kemuncak sambutan Hari Wanita 2022 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac 2022 (Selasa) di KLCC.

Pelbagai pihak turut dilibatkan dalam sambutan Hari Wanita kali ini, meliputi agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak korporat, NGO, pihak swasta, orang perseorangan bagi memastikan sambutan ini diraikan dan dirasai di seluruh negara selari dengan hasrat dan semangat tema Saksama Bersama.

Bersempena dengan sambutan Hari Wanita 2022, KPWKM akan mengiktiraf ikon-ikon wanita bagi Anugerah Wanita Ikon 2022 iaitu; Ekonomi, Pendidikan, Kesihatan, Kepimpinan, Keselamatan, Perundangan dan Anugerah Khas Tun Fatimah.

APAKAH HARAPAN YB DATUK SERI DALAM PERJUANGAN MEMPERKASAKAN WANITA DI MALAYSIA

RINA: Harapan saya sangat menggunung untuk melahirkan lebih ramai kepemimpinan wanita dalam politik dan pelbagai peringkat yang lain khususnya sektor korporat dalam proses membuat keputusan. Inilah masanya, waktunya proses pemerkasaan wanita perlu diberikan perhatian yang mendalam. Inilah juga saya telah tekankan ketika lawatan saya ke Dubai baru-baru ini.

Kita juga ingin melihat lebih ramai wanita yang mampu berdikari dari segi kewangan tanpa mengharapkan bantuan berterusan daripada kerajaan, setelah sudah bersedia untuk mara ke depan. Selain itu, saya juga ingin mengajak semua lelaki untuk sama-sama berganding bahu dalam menyokong pemerkasaan wanita kerana di antara mereka inilah juga ibu, isteri, anak, kakak anda.

Wanita juga ada hati perasaan. Kita hargailah peranan, pegorbanan dan perjuangan mereka.

SELAMAT HARI WANITA 2022

SAKSAMA BERSAMA

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here