Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjadi watak penting penubuhan 1MDB hingga menyebabkan syarikat itu hilang berbilion ringgit mahu ‘mengajar’ kerajaan cara membayar hutang ditinggalkan 1MDB.
Kata Najib, jika wang pokok itu dibayar awal-awal maka tiada faedah yang perlu dibayar.
Katanya lagi wang hutang itu boleh dibayar dengan dana yang diterima daripada DOJ, Ambank, KPMG dan Deloittes.
Dalam masa sama, Najib juga mengatakan bahawa tiada satu sen pun dana awam digunakan kerajaan untuk membayar balik hutang 1MDB. Maka, bertepuk sakanlah penyokong taasub Najib kononnya cadangan itu lebih bernas dalam membayar hutang berbilion ringgit yang ditinggalkan syarikat sarat skandal itu.
Mereka percaya Najib dianiaya sedangkan satu dunia tahu bagaimana wang 1MDB hasil duit rakyat itu dibolot dengan pelbagai bentuk penyelewengan yang tidak tercapai di fikiran manusia biasa.
Sebaliknya menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan sebelum ini membayar faedah hutang 1MDB sebanyak RM6.5 bilion dan belum membayar hutang pokok memandangkan ia hanya akan matang antara tahun 2022 hingga 2039.
Tengku Zafrul berkata sehingga akhir Februari 2022, jumlah keseluruhan hutang 1MDB bernilai kira-kira RM38.8 billion merangkumi RM32.3 bilion hutang pokok dan RM6.5 bilion hutang faedah.
Jelas sekali, duit bayaran itu datang daripada kantung kewangan kerajaan yang pastinya dana awam dan bukannya daripada simpanan peribadi Najib dan penyokongnya.
Sebenarnya daripada cadangan Najib itu sendiri sudah menunjukkan bahawa tepatlah tindakan mengheret pelaku rasuah dalam 1MDB ke muka pengadilan.
Jika benar sesebuah syarikat itu tidak bermasalah dan boleh membawa keuntungan, kenapa perlu bagi kerajaan untuk membayar hutang hingga tahun 2039. Nilai yang perlu dibayar juga bukan kepalang iaitu hutang keseluruhan 1MDB sebanyak RM38.8 bilion dan sekiranya diberi kepada kira-kira 29 juta penduduk Malaysia, setiap seorang boleh mendapat lebih RM1,000. Lihatlah betapa besarnya nilai hutang tersebut.
Itu belum dikira berapa banyak sekolah, hospital, jalan raya yang dapat dibina dengan wang rakyat itu jika tidak perlu membayar hutang yang ditinggalkan oleh 1MDB.
Cukup-cukuplah Najib mengelirukan rakyat terutama orang kampung yang mudah percaya dengan segala angka yang mengelirukan mereka. Cadangan untuk menutup bangkai gajah dalam 1MDB itu tidak sesekali akan memadamkan apa yang telah diputuskan mahkamah.
Lebih baik tumpukan masa dan tenaga untuk membela diri di mahkamah untuk kes lain antaranya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu yang menolak permohonan Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC).
Najib juga sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.
Kerana kesalahan-
kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Namun disebabkan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman berkenaan, dia tidak perlu ke penjara dan masih bebas.
Semoga penyokong Najib dapat buka mata dan tidak terlalu percaya dengan setiap apa yang dikatakannya.
- Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
Leave a Reply