roger feng shui akta siasatan SPRM PAS 1MDB saman bon AS$3 bilion

1Malaysia Dapat Bala (1MDB)

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

APABILA Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ramai yang sinis dan mempersoalkannya.

Menurut pemimpin UMNO, isu itu sudah lapuk dan tidak perlu dibangkitkan lagi selain menyifatkannya tidak relevan dalam PRN Johor.

Sebenarnya isu 1MDB perlu terus dibahas dan diketengahkan kerana akar kepada masalah ini terus hidup dan menjalar sehingga ke hari ini.

Malangnya isu tersebut bukan membesar dan memberi naungan kepada rakyat Malaysia sebaliknya pada bila-bila masa akan meranapkan negara ini dengan beban hutang yang terlalu besar untuk ditampung.

Apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2 Mac lalu semasa membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen mendakwa tiada satu sen pun wang rakyat diguna untuk membayar hutang prinsipal 1MDB, kenyataan itu terus membuka pekung skandal tersebut.

Najib yang dikaitkan dengan isu 1MDB iaitu skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia cuba mengelirukan kes jenayah global tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu yang popular dengan gelaran Malu Apa Bosku cuba berkata, tiada satu sen pun dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.

Beliau tidak dapat menegakkan benang yang basah apabila kenyataannya disanggah Kementerian Kewangan, pakar ekonomi dan pemimpin lain, dengan mengatakan kerajaan terpaksa membayar kadar faedah hutang itu setiap tahun menggunakan wang kerajaan iaitu wang rakyat.

Ini diperkukuhkan lagi apabila semalam, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ketua Penerangan PN menafikan dakwaan Najib itu kononnya hutang 1MDB tidak membebankan kerajaan.

Azmin berkata, semasa pentadbiran PN, kerajaan Muhyiddin terpaksa berdepan dengan hutang lebih RM43 bilion, dengan sebahagian daripadanya berkaitan 1MDB.

“Baru-baru ini, ada individu yang cuba menafikan perkara ini. Jangan biarkan kerakusan seorang atau dua orang yang ingin merompak wang rakyat disimpan.

“Hutang legasi untuk 2022 ialah RM43 bilion, itu hanya untuk membayar faedah, belum lagi hutang pokok. Antara hutang yang dilunaskan ialah hutang 1MDB,” katanya.

Pendedahan tersebut dibuat dalam majlis dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di Pulai Spring Resort, Kulai, Johor.

Bayangkan legasi jumlah hutang tersebut terlalu besar dan sebenarnya terus menerus membebankan kerajaan sehingga hari ini. Jadi apa yang tidak relevannya isu untuk terus diperkatakan?

Rakyat berhak mengetahuinya termasuk pengundi PRN Johor yang akan membuat keputusan pada PRN Johor agar pisang tidak berbuah dua kali.

Hutang 1MDB terpaksa ditanggung ketika pentadbiran PN di bawah Muhyiddin dan sekarang pula dipikul kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ini adalah realitinya.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan fakta ini terutama semasa kempen PRN Johor kerana sedar 1MDB akan membuatkan mereka hilang arah dan ‘tenggelam punca’ untuk menjawabnya.

1MDB seakan ‘saka’ peliharaan UMNO dan BN yang pada bila-bila masa akan menelan lahap mereka. Bukan sahaja gabungan itu menanggung kesannya tetapi seluruh rakyat Malaysia mendapat tempiasnya. 1Malaysia Dapat Bala (1MDB)!


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *