TAN Sri Muhyiddin Yassin amat teruja dengan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina di Johor terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam majlis makan malam yang dihadiri oleh lebih 800 orang masyarakat Cina di Johor Bahru malam tadi.
Menurut Pengerusi PN itu, ramai pimpinan masyarakat Cina yang hadir.
“Saya jelaskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan saya sebelum ini untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat semasa pandemik Covid-19.
“Ini termasuk pelbagai bantuan yang diberikan kepada individu dan perniagaan seperti bantuan bakul makanan, moratorium pinjaman bank, pengeluaran caruman KWSP, subsidi upah dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu turut menegaskan komitmen PN untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Johor, menggalakkan pelaburan di negeri itu, menyediakan pekerjaan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat seperti yang terkandung dalam Ikrar PN Untuk Johor.
Muhyiddin turut menekankan peri penting nilai integriti dan amanah dalam kepimpinan kerajaan.
“Hanya kepimpinan yang berintegriti dan beramanah dapat memacu kemajuan negeri dan negara.
“Tiada ketirisan, tiada pembaziran, tiada penyelewengan. Barulah rakyat dapat merasa erti pembangunan, kemajuan dan kestabilan yang sebenar,” jelasnya.
Seorang tetamu yang hadir bertanya kepada Muhyiddin apa jaminan PN akan berlaku adil kepada semua kaum.
“Saya beritahu rekod saya sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional, saya tidak pernah bertanya apa kaum orang yang menerima vaksin, bakul makanan dan pelbagai bentuk bantuan dan pakej rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion.
“Semua dibantu dan dilayan secara adil dan saksama,” ujarnya.
Beliau menambah, prinsip PN sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin ialah membantu semua rakyat tanpa mengira kaum.
Muhyiddin memberitahu, tiada seorang pun yang akan dibiarkan ketinggalan walau apa kaum dan agamanya.
“Ini komitmen saya dan PN,” katanya.
Leave a Reply