Muhyiddin tokoh penting usaha pulih ekonomi negara

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan tokoh penting dalam usaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat krisis pandemik COVID-19.

Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Muhyiddin sewaktu bergelar Perdana Menteri dahulu dan kini sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) disaksikan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurut beliau, usaha memulihkan ekonomi akibat kesan pandemik COVID-19 dimulakan Muhyiddin tidak lama setelah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.

Ahli Parlimen Jeli itu menambah, Mesyuarat Kabinet pertama yang dipengerusikan Muhyiddin memutuskan untuk memastikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipulihkan dan diperkasakan.

“Maka banyak perkara dibincang berkait usaha memulihkan ekonomi dan inisiatif untuk rakyat yang dibincang dalam majlis ini yang saya urusetianya.

“Hasilnya, lapan pakej dengan RM530 bilion dan banyak lagi inisiatif lain bagi pemulihan ekonomi negara dibincang di majlis ini bersama Tan Sri (Muhyiddin) dan Menteri Kewangan serta yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapa aluan sempena Majlis Dialog Pengerusi MPN dan Menteri-menteri Berkaitan Ekonomi di Johor Bahru hari ini.

Ujar Mustapa, usaha-usaha ini termasuk inisiatif pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bantuan sara hidup, subsidi gaji kepada majikan dan tentunya Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang cukup mantap dilakukan ketika era pentadbiran Muhyiddin.

“Ikutkan indeks daya tahan Bloomberg kita kini berada pada kedudukan tangga 18.

“Semua ini adalah usaha pemulihan ekonomi yang mula digerakkan Tan Sri Muhyiddin dan anggota Kabinet lain,” jelasnya.

Menurut beliau, majlis itu bermesyuarat seminggu sekali sehinggalah keadaan mulai stabil dengan mesyuarat kini diadakan secara bulanan.

Katanya, selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri, ditubuhkan pula MPN yang dipengerusikan Muhyiddin dan ini satu lagi institusi penting bagi memulihkan ekonomi negara.

“Ini institusi dan kaedahnya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), MPN dan peranan menteri berkaitan memikirkan segalanya bagaimana memulihkan ekonomi.

“Alhamdulillah, perdagangan, pelaburan, pengangguran makin pulih. Cuma kini kita berdepan satu lagi isu baru iaitu krisis Rusia-Ukraine,” jelasnya.

Katanya, ketika ini orang Felda gembira peningkatan harga sawit tetapi di pihak kerajaan berdepan satu sisi lain iaitu subsidi minyak masak.

Menurut Mustapa, ini termasuklah peningkatan harga minyak mentah dunia yang pada masa sama ada kesan baik dan implikasi subsidi bagi pasaran runcit.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *