Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PERIKATAN Nasional (PN) sudah berjaya meruntuhkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Kota Tinggi yang telah didominasi sejak dahulu.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi, Rasman Ithnain berkata, itu merupakan satu kejayaan besar PN.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili berkata, terdapat tanda positif yang ditunjukkan oleh pengundi- pengundi di Kota Tinggi dalam sokongan mereka terhadap PN.
“Soal kemenangan (BN di Kota Tinggi dalam pilihan raya sebelum ini) itu kita tidak dapat nafikan. Itu adalah kekuatan BN. Tapi kesimpulannya, kita dapat memecahkan tembok (dominasi) itu pun pada saya satu yang positif.
“Insya-Allah telah ada tanda-tanda untuk PN menguasai di Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui di Kota Tinggi, hari ini.
Beliau sebelum itu menerima kunjungan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan PN Zon Timur di Kota Tinggi.
Mengulas lanjut, Rasman berkata, tanda peralihan sokongan itu dapat dilihat daripada generasi baharu yang tinggal di kawasan Felda dan kampung tradisional.
“Macam generasi peneroka, dia tidak ada masalah dengan pendapatan dan tempat tinggal. Dia dah boleh bertahan hidup.
“Tetapi generasi kedua dan ketiga berhadapan dengan isu tidak ada tempat tinggal, pekerjaan dan perniagaan yang masih tidak meluas. Mereka berhadapan dengan ‘survive’ hidup macam mana generasi lain yang ada di bandar, ” ujarnya.
Dua Dewan Undangan Negeri (DUN) berada di bawah Parlimen Kota Tinggi ialah DUN Sedili dan DUN Johor Lama yang kedua-duanya diwakili ADUN Bersatu sebelum ini.
Leave a Reply