PN mampu selesai masalah pembinaan 3,245 rumah generasi kedua Felda di DUN Sedili

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PERIKATAN Nasional (PN) mampu menyelesaikan masalah perumahan generasi kedua Felda di enam kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili di sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon PN bagi kerusi DUN Sedili, Mohd. Hasnolhadi Mohd Sebalas berkata, terdapat 3,245 rumah milik generasi kedua Felda yang perlu dibina di enam kawasan tanah rancangan berkenaan.

Beliau memberitahu, generasi kedua yang terlibat dengan masalah itu dari Felda Aping Timur, Felda Aping Barat, Felda Simpang Waha, Felda Bukit Waha, Felda Bukit Easter dan Felda Tenggaroh Selatan 1.

“Mereka tidak boleh membina kediaman masing-masing kerana ketiadaan infrastruktur di tempat mereka khususnya jalan, longkang serta bekalan air dan elektrik.

“Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melancarkan Ikrar Perikatan Nasional Untuk Bangsa Johor untuk ditawarkan kepada rakyat Johor termasuk komuniti Felda, sempena PRN Johor.

“Sebagai calon yang mewakili PN, saya amat yakin ikrar untuk mensejahterakan komuniti Felda menerusi Tunjang 4 – Keprihatinan Kepada Rakyat, adalah sangat penting untuk merubah generasi kedua Felda untuk memiliki kediaman dan membina kehidupan dengan keluarga sendiri.

“Saya juga ingin menyampaikan berita gembira kepada komuniti Felda sekiranya PN menerajui kerajaan negeri selepas PRN Johor nanti, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu Felda bagi tujuan pembinaan rumah akan ditetapkan pada kadar RM1 sekaki persegi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk rekod katanya, kesemua 3,245 lot tersebut telah diserahkan kepada pemiliknya dari kalangan generasi kedua Felda, sejak tahun 2019.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak dapat membina rumah kediaman masing-masing berikutan ketiadaan infrastruktur di lokasi tersebut.

“Saya memandang serius kesukaran generasi kedua di enam kawasan Felda di DUN Sedili ini,” katanya.

Katanya, komitmen lain yang diikrarkan untuk komuniti Felda termasuk di DUN Sedili adalah tindakan segera meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat, penyediaan kemudahan dan prasarana di kawasanrancangan tersebut.

PN juga katanya, berikrar akan memastikan projek perumahan generasi baharu Felda yang sedang dibaik pulih dan disiapkan pada 2022 ini supaya dapat disempurnakan dengan segera.

“Kami juga memberi jaminan bahawa projek perumahan generasi baharu Felda yang terbengkalai tetapi berpotensi untuk dibaik pulih, akan diselamatkan.

“Kerajaan PN juga akan memperhebatkan penyertaan komuniti FeldaA dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan termasuk pemasaran menerusi e-dagang,” katanya.

Beliau yakin semua ikrar ini boleh ditunaikan dengan kebijaksanaan kepemimpinan PN termasuk menjalin dan memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan serta Felda.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *