PILIHAN Raya Umum (PRU) ke-15 tidak perlu diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tamat kerana rakyat sudah cukup derita dengan permainan politik yang kian ‘menjerut’ rakyat.
Tinjauan SatuBerita sekitar Senai, Johor Bahru, Johor mendapati rata-rata rakyat tidak bersetuju untuk mengadakan PRU-15 sejurus selesai PRN Johor, kerana ketidakstabilan ekonomi rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19 dan banjir yang melanda negara.
Tidak bersetuju dengan desakan sesetengah pihak yang ingin mengadakan PRU-15 dengan segera pada masa negara dalam proses pemulihan, Moktar Sham, 51, berkata kerajaan harus menumpukan perbelanjaan wang kepada rakyat dan bukan PRU-15.
“Ia melibatkan banyak perbelanjaan, saya tak setuju. Kita sekarang masih berdepan dengan pandemik Covid-19, rakyat banyak yang menganggur, kena buang kerja dan sebagainya.
“Kerajaan akan membelanjakan sejumlah wang dekat situ (PRU15), jika duit itu disalurkan sebagai bantuan kepada rakyat lebih bagus,” katanya kepada SatuBerita.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, UMNO tetap akan meminta perdana menteri mengadakan PRU15 dengan segera walaupun Barisan Nasional (BN) tewas dalam PRN Johor.
Dalam pada itu, seorang rakyat Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Luncai, 50, meluahkan perasaan muak dengan permainan politik yang tidak mementingkan rakyat.
“Saya dah muak dengan politik ni. Kalau boleh tak ada pilihan raya lebih bagus, saya tak minat pilihan raya ni. Sebab politik yang sekarang ini macam menyakitkan hati,” katanya seolah-olah berputus asa.
Sependapat dengannya, Salam Sadikin, 50, menggesa kerajaan agar menunggu pandemik Covid-19 reda dan rakyat kembali stabil sebelum adakan PRU-15.
“Sebenarnya benda ini, rasanya tak perlu lagi, sebab kita belum reda lagi kan. Dengan dos ketiga masih ada yang belum ambil, redakan Covid-19 baru buat pilihan raya.
“Kita tengah susah, kita kerja ada yang tak ada kerja. Hutang sana sini, nak bayar, lagi nak pilihan raya,” tegasnya.
Seorang penghantar makanan, Eskandar Atan, 38, berpendapat ekonomi negara harus distabilkan dahulu sebelum memikirkan perbelanjaan yang tidak mendatangkan kebaikan kepada ekonomi.
“Sekarang keadaan pandemik rakyat tak boleh bebas sangat, ekonomi pun tidak berapa stabil untuk buat pilihan raya,” ujarnya.
Leave a Reply