DUA bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah bertemu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam pertandingan lima penjuru melibatkan mereka dan tiga lagi calon termasuk calon Bebas.
Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ariss Samsudin sebelum ini pernah menjadi wakil rakyat di kawasan Semerah sejak 2004 hingga 2013 dan penampilan kali ini ibarat ‘sirih pulang ke gagang’.
Penampilan semula beliau untuk merampas kerusi itu daripada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga penyandang kerusi DUN berkenaan, Mohd. Khuzzan Abu Bakar.
Ariss berkata, setelah hampir 10 tahun ‘menyepi’ di DUN Semerah, beliau kembali untuk berkhidmat kepada rakyat dan antara fokus yang akan dilakukannya sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat adalah untuk mempromosikan Semerah kepada masyarakat luar.
“Kawasan DUN Semerah ini mempunyai beberapa tarikan yang mampu jadi lokasi pelancongan.
“Antaranya adalah beberapa kedai makan yang menyajikan masakan ikan asam pedas yang merupakan identiti kepada Batu Pahat dan juga Semerah, serta pantai paya bakaunya, di mana saya berhasrat untuk menjadikannya sebagai pusat pelancongan.
“Saya berharap sebaik kawasan Semerah ini menjadi tumpuan, peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk setempat bertambah, sekali gus akan menaikkan taraf ekonomi di sini,” katanya memetika laporan Bernama.
Menurutnya, setelah beberapa hari berkempen sejak hari penamaan calon pada Sabtu lepas, beliau mengakui ada pengundi keliru yang beliau bertanding atas tiket BN atau pun PN.
Tiga lagi calon yang merebut kerusi DUN Semerah dalam persaingan lima penjuru adalah calon BN, Mohd. Fared Mohd. Khalid; Kamarolzaman Mohd Jidi mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Mahdzir Ibrahim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Khuzzan menang dengan majoriti 98 undi menewaskan Mohd Ismail Roslan (BN) dan Adnan Othman (Pas).
Leave a Reply