Zarul cuba selesai masalah setempat jika menang kerusi DUN Simpang Jeram

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Zarul Salleh mengambil semua input dan masalah rakyat semasa bertemu pelbagai jenis lapisan masyarakat sejak berkempen sejak lima hari lalu.

Menurut beliau yang sebelum ini merupakan seorang guru Pendidikan Islam di Maahad Muhammadi dan juga Guru Takmir Daerah Tangkak, semua input itu amat berguna untuk membaiki taraf hidup dan menyelesaikan masalah penduduk Simpang Jeram sekiranya menang nanti.

“Sepanjang saya dan tim menjalani tempoh kempen selama lima hari ni, saya mengambil input input bagi seluruh aspek bukan politik semata.

“Saya mengharapkan setiap pertemuan dan perbincangan baik dengan ahli politik, peniaga, orang perseorangan, bahkan golongan profesional sekalipun, harapan besar saya manfaatnya dapat ditumpahkan ke DUN Simpang Jeram,” katanya Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau melahirkan kekesalan kerana terdapat pemimpin Islam yang berpolitik tidak mengikut panduan ditetapkan agama itu.

Katanya, mereka sanggup melanggar peraturan ditetapkan syariat dan hukum agama seperti sanggup membuat fitnah dan adu domba, bahkan d luar negara ada yang sanggup membunuh dan berperang sesama sendiri semata-mata kerana ingin mengejar takhta kekuasaan.

“Inilah antara penyakit yang melanda umat Islam di seluruh dunia dan ia seolah-olah tiada ubat atau jalan penyelesaian.

“Kita semua faham bahawa fenomena seperti ini tidak menguntungkan umat Islam sebaliknya mendatangkan banyak keburukan seperti memberi ruang luas kepada musuh Islam melemahkan dan seterusnya menghancurkan umat Islam.

“Oleh itu mana-mana pihak yang mempunyai wibawa atau yang mendapat mandat harus mengusahakan perdamaian antara kelompok umat Islam yang bergaduh sesama sendiri agar tiada lagi yang keruh menyelubungi umat dan masyarakat Islam seluruhnya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *