SPR pinda, tambah baik SOP PRN Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

SPR menerusi satu kenyataan memaklumkan, ketetapan SOP pencegahan Covid-19 dibuat berdasarkan cadangan pindaan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pindaan dan tambahan kepada SOP tersebut adalah seperti berikut:

a. Ceramah/syarahan/kempen dibenarkan diadakan di dalam dan di perkarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi;

b. Jumlah kehadiran ceramah/syarahan/kempen tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang mengikut mana yang terendah, bagi memastikan penjarakan fizikal sekurangkurangnya 1 meter di antara satu sama lain dan memakai pelitup muka. Jumlah tersebut termasuk penganjur, urusetia, penceramah dan peserta;

c. Ceramah/syarahan yang diadakan tidak boleh melebihi pukul 12 tengah malam; dan

d. Ceramah/syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

Menurut SPR lagi, pindaan dan tambahan SOP berkenaan berkuat kuasa serta merta.

SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *