“SIAPA PM (Perdana Menteri) ketika itu?,” soal Datuk Dr. Sahruddin Jamal ketika mengulas isu projek rumah generasi kedua Felda Seri Jaya, Bukit Serampang, Muar yang belum menjadi kenyataan sehingga ke hari ini.
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Bukit Kepong itu secara sinis menegaskan, peruntukkan membina rumah generasi kedua adalah menggunakan dana Felda, tetapi disebabkan Felda mengalami masalah hutang besar akibat salah urus, projek itu gagal dilaksanakan.
Beliau mengulas mengenai rungutan penduduk di Felda Seri Jaya yang mempersoalkan status pembinaan projek 157 unit rumah generasi kedua di situ yang masih menjadi tanda tanya.
Projek fasa pertama membabitkan 101 unit rumah sudah disiapkan dan diterima oleh generasi kedua pada 10 tahun lalu, namun bagi projek fasa kedua, masih belum ada sebarang tanda ia akan menjadi kenyataan.
Mengulas lanjut, Dr. Sahruddin berkata, Felda Sri Jaya itu memang di dalam kawasan DUN Bukit Kepong, di bawah pentadbirannya yang memenangi kerusi berkenaan pada 2018.
“Memang ia berada dalam kawasan saya, tetapi harus diingat, bahawa untuk rumah generasi kedua, itu (dana) adalah atas peruntukkan daripada Felda.
“Status tanah pula daripada kerajan negeri. Jadi (apabila) timbul tanda tanya kenapa rumah itu belum disiapkan, jawapan saya mudah, siapa PM pada waktu itu?,” katanya ketika ditemui SatuBerita.
Kenyataan sinis bekas menteri besar Johor ke-17 itu merujuk kepada kegagalan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Najib meninggalkan legasi hutang yang terpaksa ditanggung Felda akibat salah urus dan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri, kerajaan PN pimpinannya berjaya menghapuskan kira-kira RM8.3 bilion hutang peneroka Felda.
Isu itu disebut berulang kali oleh Muhyiddin dan ketika pelancaran Ikrar PN ‘Demi Bangsa Johor’ hari ini, Pengerusi PN ini sekali lagi mengulangi kejayaan mereka melakukan sesuatu yang gagal dilaksanakan BN selama berpuluh tahun memerintah.
Berikutan itu, Muhyiddin menuntut peneroka Felda sudah terus memberi sokongan kepada PN demi masa depan yang lebih baik.
Dr. Sahruddin berkata, jika Felda berkemampuan dan mempunyai bajet serta mendapat sokongan penuh Perdana Menteri, beliau yakin masalah itu mampu ditangani dengan mudah.
“Felda ada bajet dan Perdana Menteri dapat menyokong rumah generasi itu dibuat, saya cukup yakin rumah itu akan dibuat. Sebab itulah Tan Sri (Muhyiddin Yassin) cakap dia akan berusaha untuk membina rumah generasi kedua, di seluruh Johor.
“Jika dia dilantik sebagai Perdana Menteri dan PN berjaya memerintah, negara dan negeri ini, semua akan diselesaikan,” katanya yang mahukan rakyat menilai rekod baik kerajaan PN membantu mengatasi masalah berkaitan Felda.
Leave a Reply