Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KECEDERAAN dialami calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, Zahiruddin Zulkarnain, 18, akibat kemalangan motosikal petang semalam tidak menghalangnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang bermula hari ini.
Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Masai 2 di sini, nekad mengambil kertas peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2 kerana amat penting dan jika terlepas akan gagal dalam SPM.
“Saya membuat keputusan untuk menamatkan kedua-dua kertas itu terlebih dahulu sebelum pergi mendapatkan rawatan di hospital hari ini.
“Saya tidak mahu gagal atau terpaksa mengulangi kertas peperiksaan ini, jadi walaupun berada dalam kesakitan sehingga tidak boleh duduk terlalu lama, saya nekad untuk menamatkan kertas ini.
“Walaupun perlu berhenti sekali sekala untuk baring dan berehat, saya tidak kisah kerana semua persiapan untuk menjawab kertas peperiksaan ini sudah dibuat,” katanya.
Dia ditemui pemberita selepas selesai mengambil peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 di SMK Taman Kota Masai 2, hari ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin sebelum itu melakukan tinjauan hari pertama SPM di SMK tersebut.
Zahiruddin menganggap itu ujian kecil dan berharap akan segera pulih untuk terus menduduki peperiksaan SPM bersama-sama rakan lain.
Dia yang menetap di rumah keluarga di Taman Kota Masai di sini memberitahu, kemalangan itu berlaku jam 6.40 petang semalam ketika menunggang motosikal menuju ke Stulang untuk bertemu saudaranya.
Ceritanya, ketika dalam perjalanan di Lebuh Raya EDL menghala ke pusat bandar raya Johor Bahru dihimpit sebuah kereta dan sebuah lori.
“Cuaca ketika itu hujan dan saya berada di tengah-tengah antara sebuah kereta dan sebuah lori yang seakan-akan menghimpit saya menyebabkan saya brek mengejut sebelum terjatuh,” katanya.
Dia mendakwa hampir digilis tayar lori namun sempat mengelak dan kemalangan itu mengakibatkan luka di beberapa bahagian badan dan sakit di bahagian pinggang.
Zahiril berharap agar kesihatannya segera pulih dan tiada kecederaan lanjut bagi membolehkan dia melakukan yang terbaik untuk peperiksaan SPM sekali gus membolehkan hasratnya untuk menyambung pengajian dalam bidang automotif.
Leave a Reply