*Pelbagai bantuan demi ringan beban rakyat, sejahterakan anak muda, memacu ekonomi
IKRAR Perikatan Nasional#DemiBangsaJohor yang dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu, di Johor Bharu hari ini dilihat lengkap dalam usaha memastikan tiada mana-mana kelompok terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri ini dalam pelbagai sektor ekonomi serta sosial.
Dalam ucapannya Muhyiddin yang Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, ikrar berteraskan 8 tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan serta akan dipantau oleh sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan yang dianggotai oleh anak jati Johor itu bukan retorik semata-mata.
‘’Ikrar ini adalah suatu komitmen yang realistik dan praktikal bahawa Kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan berintegriti, cekap dan prihatin rakyat,’’ katanya.
Beliau berkata, Perikatan Nasional berikrar untuk terus menjunjung Prinsip Raja Berperlembagaan, mewujudkan pentadbiran kerajaan negeri yang cekap, berintegriti dan bebas rasuah, mampu merangsang pertumbuhan ekonomi yang pesat serta prihatin terhadap kebajikan demi kesejahteraan dan kemakmuran bangsa Johor.
Muhyiddin berkata, pentadbiran kerajaan negeri yang bersih dan cekap mestilah ditunjangani oleh kepimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah.
‘’Oleh demikian, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang sentiasa mendokong pemimpin berintegriti, bebas rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa. Selain itu, kecekapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri juga akan dipertingkatkan melalui pemerkasaan tadbir urus agensi dan syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri.
‘’Ini marangkumi usaha-usaha untuk menyusun semula syarikat bagi mengoptimumkan penjanaan keuntungan dan mengoptimumkan pendigitalan perkhidmatan awam negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),’’ katanya.
Dari segi ekonomi, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, sebagai sebuah negeri penyumbang terbesar kepada KDNK negara, Johor mempunyai potensi amat besar untuk dipacu ke tahap optimum.
Oleh itu, katanya, Perikatan Nasional akan memberi tumpuan kepada keutuhan ekonomi Johor melalui penyediaan Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022 – 2032 yang menyeluruh dan holistik bagi memperkasa masa depan ekonomi Johor.
‘’Pelan Sedekad ini mengutamakan penglibatan semua lapisan masyarakat dan menumpukan kepada industri strategik dan berimpak tinggi, termasuk infra digital, pengangkutan awam moden, penjanaan tenaga hijau dan pertanian pintar,’’ katanya.
Selain itu kata Muhyiddin, usaha juga akan dipergiat untuk memperkasakan Johor sebagai hab pengeluaran makanan negara dan menjadikan Johor sebagai hab digital negara dengan menarik pelaburan syarikat teknologi antarabangsa.
‘’Pembangunan mampan ekonomi Johor juga akan disokong melalui pendigitalan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Selain itu penyediaan hab PMKS dan Skim Prihatin PMKS, pengecualian sepenuhnya bayaran lesen perniagaan bagi PMKS di seluruh negeri Johor diberikan untuk tempoh lima tahun agar usahawan PMKS dapat terus menjadi antara pemangkin utama ekonomi Johor,’’ katanya.
Beliau menegaskan, dengan perancangan yang holistik, lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi dapat ditawarkan untuk rakyat Johor. Di samping itu, pelbagai aktiviti ekonomi tambahan dalam sektor pertanian, perikanan dan perkhidmatan akan disediakan.
*Usah kurangkan kos sara hidup rakyat
Dalam ikrar itu Muhyiddin mempertegaskan bahawa Perikatan Nasional akan terus berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat bagi meringankan beban yang ditanggung.
‘’Oleh itu, Perikatan Nasional menawarkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah, memperluaskan Program Jualan Prihatin Rakyat, meneruskan pengagihan bakul makanan Johor Prihatin secara berkala dan memperkasa penyelarasan pengagihan bantuan prihatin rakyat bagi memastikan tiada kumpulan yang memerlukan tercicir, termasuk OKU,’’ katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, untuk membantu golongan penjaja yang terkesan dengan pandemik Covid-19, bantuan khas kepada penjaja akan disediakan dalam bentuk penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan untuk tempoh selama lima tahun. Selain itu, bantuan khas kepada nelayan berdaftar yang terkesan akibat projek pembangunan di pesisir selat Johor juga akan disediakan.
*Gesa kerajaan buka sempadan demi rangsang ekonomi Johor
Muhyiddin juga menegaskan, bagi merangsang pemulihan ekonomi negeri Johor, Perikatan Nasional menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera membuka sempadan negara.
‘’Negeri Johor yang bersempadan degan Singapura tentunya akan menerima banyak manfaat limpahan ekonomi apabila sempadan negara dibuka semula. Kita akan dapat melihat aktiviti ekonomi negeri Johor terutamanya dalam sektor pelancongan dan peruncitan akan kembali rancak dengan pembukaan sempadan negara.
‘’Ini tentunya akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan rakyat. Pembukaan sempadan juga akan memudahkan urusan rakyat di negeri Johor yang bekerja di Singapura untuk berulang-alik ke tempat kerja dan kembali ke pangkuan keluarga,’’ katanya.
*Bantuan komputer riba dan bantuan untuk anak muda lanjut pelajaran
Beliau berkata, keprihatinan kepada rakyat adalah keutamaan Perikatan Nasional oleh itu semua golongan masyarakat, termasuklah belia, wanita, warga emas, orang kurang upaya, masyarakat Orang Asli dan komuniti FELDA sentiasa diberikan perhatian.
‘’Pelbagai program bantuan, latihan kemahiran dan khidmat nasihat akan disediakan, khususnya dalam memperkasa dan mengoptimumkan penglibatan kumpulan sasar ini dalam aktiviti ekonomi dan sosial.
Sebagai contoh, Dewan Undangan Negeri Belia dan Yayasan Kepimpinan Anak Muda Johor akan diwujudkan bagi menggilap generasi pemimpin masa depan dalam kalangan anak muda. Bantuan komputer riba dan bantuan tunai juga akan disediakan untuk anak-anak muda yang akan melanjutkan pengajian,’’ katanya.
*Siapkan projek perumahan generasi baharu Felda
Muhyiddin berkata, bagi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat FELDA, selain penyediaan kemudahan dan prasarana di kawasan rancangan , Perikatan Nasional akan memastikan projek perumahan generasi baharu FELDA yang sedang dibaik pulih disiapkan segera dan projek perumahan generasi baharu FELDA terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih akan diselamatkan.
‘’Penglibatan warga FELDA dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi akan dipergiat melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan. Selain itu, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu FELDA bagi tujuan pembinaan rumah oleh generasi baharu FELDA ditetapkan pada kadar RM1.00 sekaki persegi,’’ katanya.
*Skim Takaful Prihatin Johor dan Kad Prihatin Johor untuk rakyat berpendapatan rendah
Dari segi kesejahteraan sosial, Muhyiddin berkata, Perikatan Nasional akan memastikan pendidikan berkualiti disediakan untuk memperhebat generasi pewaris Johor dengan tumpuan kepada penyediaan fasiliti dan teknologi digital serta meningkatkan akses pendidikan kepada semua rakyat, khususnya dalam kalangan keluarga yang memerlukan.
‘’Akses kepada pendidikan agama yang berkualiti menerusi sekolah-sekolah agama negeri Johor juga akan dipertingkatkan untuk murid-murid beragama Islam,’’ katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan kesihatan akan dipertingkatkan melalui pembinaan infrastruktur dan penyediaan Skim Takaful Prihatin Johor dan Kad Prihatin Johor kepada kumpulan berpendapatan rendah.
Bagi perumahan pula, kata beliau, agihan perumahan mampu milik akan dibuat secara telus dan penawaran rumah mampu milik ditingkatkan melalui baik pulih projek terbengkalai dan penambahan rumah transit.
‘’Selain itu, kawalan keselamatan sempadan dan kawasan bandar utama akan diperketat melalui kerjasama dengan kerajaan persekutuan. Inisiatif Dana Harmoni Johor, Program Sejahtera Johor dan pemerkasaan komuniti rukun tetangga (KRT) akan dilaksana bagi meningkatkan perpaduan setiap lapisan masyakarat,’’ katanya.
Perikatan juga kata Muhyiddin akan meningkatkan kecekapan infrastruktur termasuk kemudahan hotspot wifi secara percuma di pusat tumpuan orang ramai, merancakkan sektor pelancongan antaranya melalui pendekatan agropelancongan iaitu Program ‘Johor Agro Visit’ dengan pakej farmstay atau latihan pertanian.
Dalam soal kelestarian alam sekitar, beliau memberitahu bagi mendepani cabaran perubahan iklim, fokus akan diberikan untuk menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir dan menyediakan pelan induk kesiapsiagaan Kerajaan Negeri dalam mendepani bencana alam. Sistem saliran dan perparitan di kawasan berkepadatan tinggi akan dinaik taraf bagi mengatasi masalah banjir kilat.
Muhyiddin mengakhiri ucapannya dengan menyeru bangsa Johor bersatu hati dan memberi mandat dan peluang kepada Perikatan Nasional untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat.
Leave a Reply