DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) membidas tindakan pemimpin UMNO yang menekan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mendesak pilihan raya umum disegerakan.

Menurut Tajuddin, beliau amat kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana seolah-olah memberi kata dua dalam hal tersebut.

“Beliau (Mohamad) dilapor mendesak Perdana Menteri untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong supaya PRU diadakan secepat mungkin.

“Dan beliau juga memberi kata dua sekiranya Perdana Menteri gagal meyakinkan Agong maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan.

“Apa punya statement? Ini kenyataan seolah menekan Perdana Menteri.

“Saya berasa kesal kerana ia datang daripada salah seorang pimpinan besar parti saya sendiri,” katanya ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad Hasan bersama Najib Tun Abdul Razak.

Menurut Tajuddin, beliau perlu membangkitkan hal ini walaupun hanya ‘orang kecil’ dalam parti kerana kenyataan Mohamad itu boleh menjejaskan dan menggugat kestabilan kerajaan.

Sedangkan katanya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri perlu fokus untuk kerja-kerja melibatkan kepentingan rakyat.

“Kalau kita tekan Perdana Menteri, macam manalah kerajaan nak berusaha bawa pelbagai inisiatif membantu rakyat.

“Jadi kita perlu hentikan. Maaflah saya orang kecil dalam parti terpaksa bersuara dalam dewan ini,” tegas Tajuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak.

Sementara itu, Tajudidin menjelaskan beliau menegur tindakan RSN Rayer (DAP-Jelutong) yang mengganggu ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) bukan bermakna beliau bersetuju apa diutarakan bekas Perdana Menteri itu.

Kata beliau, sebaliknya setiap pembahas perlu diberi ruang berucap dan menunggu giliran jika tidak diberi laluan.

“Macam i-Sinar yang dibangkitkan Pekan, bagi saya keputusan Kabinet sudah dibuat, kena hormatlah,” jelasnya.

Menurut Tajudin, lagi pun dalam hal i-Sinar, kerajaan sudah memberi penjelasan mengapa ia tidak ada pengeluaran tambahan demi melindungi kepentingan masa depan pencarum.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here