Oleh RIZQI ZABIDI
SERAMAI 903 daripada keseluruhan 29,769 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Kedah, tidak dapat mengambil peperiksaan tersebut yang bermula hari ini kerana dijangkiti Covid-19 dan berstatus kontak rapat.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rozaini Ahmad kesemua calon SPM tersebut kini terpaksa menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
“Berikutan itu, mereka dijadualkan untuk mengambil peperiksaan ini pada April depan.
“Langkah ini dibuat selari dengan garis panduan dikeluarkan Kementerian Pendidikan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau perjalanan peperiksaan tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh, Jitra , hari ini.
Dalam pada itu katanya, seramai 33 calon berkeperluan khas dikenal pasti di negeri ini dengan sebahagiannya mengalami masalah pembelajaran, kurang upaya penglihatan serta kurang upaya pendengaran.
“Selain itu terdapat dua calon yang terpaksa mengambil peperiksaan di Hospital Kuala Nerang dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani kerana menghidap demam campak dan apendiks,” katanya.
Leave a Reply