Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap, rakyat tidak akan terus termakan cerita-cerita dongeng atau naratif pihak lawan kononnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan semata-mata untuk menyelamatkan kumpulan kluster mahkamah.
Menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, cerita kluster yang sentiasa menjadi mainan parti lawan itu sudah tidak lagi relevan.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat mendakwa, cerita itu juga tidak akan memberi apa-apa impak terhadap rakyat ketika ini.
“Saya sudah tanya banyak kali, kalau pun kita menang di Johor apa pula kena mengena dengan kluster mahkamah? Adakah kumpulan ini bertanding di Johor? Tidak. Apakah hakim akan terpukau menang di Johor? Tidak ada,” katanya malam tadi.
Kenyataan Tok Mat itu cuba menidakkan atau meneutralkan kebenaran bahawa ketidakstabilan politik dan apa yang berlaku dalam negara pada hari ini adalah hasil daripada ‘tangan-tangan ghaib’ kluster mahkamah.
Mungkin UMNO terlalu takut dan tidak berupaya untuk menepis semua dakwaan terhadap kluster mahkamah kerana bukti-buktinya sangat jelas. Tambahan pula rakyat sudah tahu siapa dan apa peranan kluster mahkamah.
Mereka tidak boleh menyembunyikan atau menyorokkan fakta tentang kluster mahkamah ini termasuk penglibatan mereka di sebalik PRN Johor. Rakyat Johor tidak sebodoh itu kerana rata-rata mereka bersifat analitikal dalam sesuatu isu.
Rakyat terutama pengundi PRN Johor perlu tahu serta sedar bahana dan bahayanya kluster mahkamah yang membawa virus perpecahan, perkauman, salah guna kuasa dan rasuah malah hingga mampu mencetuskan pandemik politik lebih parah dan kritikal.
Tiada vaksin yang dapat menyembuhkan kerana UMNO sudah berada dalam keadaan parah melainkan menolak mereka dalam PRN Johor.
Sekiranya kuasa di Johor kembali dalam genggaman mereka, bukan kestabilan tetapi ketidakstabilan politik akan berterusan di negara ini hingga memaksa PRN lain pula sebelum meluncuru laju menuju Pilihan Raya Umum Ke-15.
Dakwaan Tok Mat bahawa cerita kluster mahkamah sudah tidak relevan adalah cubaan supaya rakyat tidak tertumpu dengan isu tersebut. UMNO dilihat sudah tidak ada modal apatah lagi mampu menyangkal dakwaan berkenaan kluster mahkamah.
Semua pun tahu pimpinan UMNO hari ini adalah proksi kepada kluster mahkamah. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan mengikut telunjuk kluster mahkamah walaupun parti itu kini diseret ke gaung atau jurang maut.
Sepatutnya Tok Mat sebagai orang nombor dua dalam parti bangkit dan berani memperbetulkan keadaan, mengambil alih parti dan bukan mendiamkan diri atau menyelamatkan diri dalam keadaan UMNO musnah dan dimusnahkan dari dalam.
Apa yang dapat dilihat, UMNO tersepit dan dihantui dengan tawaran-tawaran dikemukakan Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan parti lain yang jelas menolak rasuah dan menampilkan calon yang bersih.
Semua itu amat bertentangan dengan UMNO yang terus dicengkam dan dibayangi kluster mahkamah sekali gus menjadi mimpi ngeri mereka.
Tolak UMNO bermakna tolak kluster mahkamah dalam PRN Johor. Ini juga bermaksud menolak kerajaan kleptokrasi yang bakal mereka bentuk.
Bangsa Johor perlu menjadi rakyat yang bermaruah, bertamadun dan berakhlak dengan tidak memilih parti yang boleh membawa mudarat.
Leave a Reply