Semerah

Aspirasi prihatin rakyat PN pikat pengundi Semerah, Sri Medan

PERIKATAN Nasional (PN) dijangka mampu menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah walaupun berdepan pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Memetik laporan infojohor, calonnya, Datuk Ariss Samsudin, selaku orang lama dalam politik di kawasan itu, dijangka mampu meraih sokongan pengundi di DUN Semerah walupun diasak empat calon Melayu lain dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), PKR dan PUTRA.

“Peluang semua calon adalah seimbang dan sama rata. Cuma rekod perkhidmatan saya sebelum ini menjadi taruhan untuk dinilaikan oleh pengundi.

“Saya akan meneruskan pelan saya untuk DUN ini menerusi aspirasi Semerah Prihatin. Ia merangkumi soal kemasyarakatan dan kebajikan, Pendidikan, kesihatan, ekonomi, pembangunan perusahaan mikro dan kecil (PMK), selain peluang ekonom serta pekerjaan untuk belia.

“Kita rangkumkan ini menerusi prinsip prihatin sebagaimana aspirasi PN dan diperincikan mengikut keadaan di DUN Semerah,” katanya.

Sebagai anak tempatan, beliau menegaskan: “Sudah tentu saya tidak kekok apatah lagi dalam urusan rakyat; setiap penjuru DUN Semerah saya amat arif di mana rata dan di mana yang berkelok.”

DUN Semerah mempunyai 46,640 pengundi. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DUN Semerah dimenangi calon PKR, Khuzzan Abu Bakar hanya dengan majoriti 98 undi.

Pada masa sama, Ariss melakukan gerak kerja bagi menyantuni akar umbi sambil menyampaikan mesej serta aspirasi perjuangan PN yang bertunjangkan integriti, prihatin rakyat dan kemakmuran negara.

Antaranya, beliau semalam melakukan sesi bertemu komuniti di sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peserai dan Simpang Lima selain sesi ramah mesra bersama penduduk perumahan Seri Sulong dan pengunjung pasar malam di situ.

Gambar: Halim Othman Kepol

Sementara itu.di DUN Sri Medan, calon PN, Halim Othman Kepol berdepan calon BN, PKR dan Pejuang. DUN Sri Medan mempunyai 32,696 pengundi.

Antara gerak kerja Halim adalah mengunjungi sekitar Pasar Sri Pasir, dan bersarapan dengan penduduk Parit Sauh selepas solat subuh. Dalam program lain, beliau menyantuni pengunjung dan peniaga di Dataran Peladang Sri Medan.

Beliau turut mendokong dan menawarkan aspirasi prihatin rakyat untuk penduduk DUN Sri Medan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *