KEKANGAN berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang masih agak ketat bukan masalah besar bagi calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Bujang.
Beliau yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin memanfaatkan aplikasi TikTok untuk memperkenalkan dirinya.
Strategi tersebut berkesan untuk mendekati pengundi-pengundi muda yang sememangnya ramai menggunakan aplikasi yang semakin popular itu.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam TikTok hari ini, Zulkifli yang juga bekas wartawan kanan merayu kepada para pengundi di DUN Larkin agar memberi beliau peluang untuk berkhidmat dan berbakti kepada mereka.
“Dengan pengalaman lebih 20 tahun sebagai wartawan, penyiar dan juga penjawat awam, insya-Allah saya akan menggunakan segala pengalaman ini untuk berkhidmat kepada anda semua.
“Undilah saya, Zulkifli Bujang, calon nombor 4, Perikatan Nasional,” katanya melalui akaun TikTok @zulkiflibujang.
Pada masa yang sama, beliau turut berkempen secara bersemuka bagi mendekati pengundi-pengundi di sekitar kawasan DUN Larkin.
“Pagi ini saya sempat bersarapan dan bertemu warga Larkin di Pondok Santapan Jalan Puyuh, Larkin Jaya.
“Macam-macam cerita yang disembangkan tadi, sambil tu saya ambil perhatian akan isu-isu lokaliti yang ada selain turut berkongsi aspirasi saya kepada warga Larkin.
“Insya-Allah, saya usahakan yang terbaik untuk warga Larkin,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Leave a Reply