NAMA Datuk Dr Sahruddin Jamal sememang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Johor khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong yang diwakilinya sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bekas Menteri Besar Johor berusia 46 tahun itu dilihat sebagai seorang pemimpin muda yang bersih dan mempunyai tahap integriti yang tinggi.
Faktor tersebut pasti memberi kelebihan kepada beliau untuk terus kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir.
Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan reputasi Barisan Nasional (BN) yang semakin tercalar ekoran penguasaan kluster mahkamah.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu juga mudah didekati masyarakat setempat dan sentiasa bersedia membantu mereka.
Salah satu isu yang diberi keutamaan oleh beliau adalah perumahan generasi kedua peneroka Felda.
Seperti yang dilaporkan Sinar Harian semalam, Sahruddin menjelaskan isu tersebut berpunca daripada masalah tanah yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Nampaknya, kerajaan negeri Johor yang diketuai UMNO dan BN gagal menyelesaikan masalah yang membelenggu generasi kedua Felda itu.
Situasi bakal berubah apabila PN diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri di Johor bagi menggantikan BN.
Memang terbukti kepimpinan PN khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa prihatin dengan kebajikan warga Felda.
Sahruddin pasti memberi komitmen sepenuhnya untuk menyelesaikan isu yang dihadapi generasi kedua Felda di sekitar kawasan DUN Bukit Kepong.
Malah, sekiranya beliau menjadi Menteri Besar sekali lagi, sudah tentu Sahruddin akan melakukan perkara serupa di seluruh Johor.
Semua itu hanya dapat direalisasikan jika pengundi memberi kepercayaan kepada Sahruddin dan bukannya calon BN, Ismail Mohamad atau Nur Afiqah M Zulkifli dari Muda dan Md Taib Md Suhut dari Pejuang.
Leave a Reply