antilompat parti

RUU antilompat parti perlu diluluskan, elak negara terus terjerumus kancah politik

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berharap sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) antilompat parti pada sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini berjalan dengan lancar sekali gus dapat diluluskan segera.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, RUU antilompat parti itu sangat mustahak untuk diluluskan memandangkan ramai pihak menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berlangsung tahun ini.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, RUU itu kelak dapat memastikan kemelut lompat parti antara Ahli Parlimen seperti yang berlaku selepas PRU-14 sehingga menyebabkan negara kucar-kacir tidak berulang.

Jelas beliau, parti Gerakan sentiasa konsisten dengan pendirian berkaitan dengan RUU antilompat parti sejak dahulu kerana berpandangan ia akan dapat menstabilkan politik negara pada masa depan.

“RUU ini juga dapat memastikan keharmonian dan ketenteraman negara kita dengan syarat ia dilaksanakan dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tong Keong, situasi pandemik Covid-19 di negara ini juga dapat dipulihkan dengan baik sekiranya keadaan politik menjadi stabil dan wakil rakyat memberikan sepenuh tumpuan dan tanggungjawab membantu rakyat.

Jelasnya, Ahli Parlimen yang berjaya mendapat mandat daripada rakyat seharusnya memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat di kawasan masing-masing.

“Bagaimanapun, wakil rakyat yang gemar melompat parti kerana lebih fokus dalam meraih kepentingan peribadi dan melakukan sesuatu yang membelakangi rakyat akan menyebabkan ketidakstabilan politik di negara kita,” katanya.

Tambahnya, Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengalu-alukan cadangan pembentangan RUU antilompat parti di Parlimen dan mengharapkan kecelaruan politik di negara kita dapat diselesaikan dengan sepenuhnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, beberapa cadangan pindaan Perlembagaan akan dibentang semasa persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini termasuk RUU berkaitan Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Ia selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu RUU berkenaan disegerakan selepas kerajaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH pada 13 September 2021.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *