SETIAUSAHA Agung DAP yang sedang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah, Lim Guan Eng mengakui keputusan partinya dan Parti Amanah Negara (Amanah) memberi laluan kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding di enam kerusi yang kononnya boleh menang adalah sebahagian daripada agenda Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri di Johor.
Calon-calon dari parti setahun jagung pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap dan Bukit Permai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
DAP tetap bertegas mempertahankan keputusan memberikan kerusi-kerusi tersebut kepada Muda walaupun dibantah keras oleh PKR lebih-lebih lagi di Puteri Wangsa.
Strategi licik DAP untuk memastikan rejim PH kembali berkuasa di Johor itu mengesahkan andaian pelbagai pihak bahawa Muda hanya berperanan sebagai boneka atau kuda tunggangan parti cauvinis tersebut.
Muda yang masih baru ditubuhkan tiada kekuatan tersendiri untuk bertapak dalam gelanggang politik tanah air khususnya di Johor.
Parti itu ingin mencuba nasib bertanding buat kali pertama pada PRN Melaka namun permintaan mereka tidak diendahkan oleh PH.
Melihat kepada prestasi buruk PKR di Melaka, DAP memerlukan sekutu baharu bagi menarik sokongan terhadap pembangkang di kawasan-kawasan yang mempunyai jumlah pengundi Melayu yang agak signifikan.
Sememangnya PH memerlukan Muda sebagai antara strategi untuk menawan semula Johor. Sebagai sebuah parti yang masih mentah, Muda tentunya lebih mudah dikawal dan patuh arahan abang besar berbanding PKR yang agak degil dan angkuh.
Kemaraan PH yang didominasi oleh DAP boleh disekat dengan tidak memberi undi kepada calon-calon Muda yang bertanding di Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap dan Bukit Permai.
Pengundi-pengundi di enam kerusi berkenaan perlu mengimbau kembali betapa menderitanya hidup mereka sewaktu rejim PH berkuasa selama 22 bulan dahulu.
Tanamkan sedalam-dalamnya dalam kotak fikiran bahawa setiap undi kepada Muda akan membuka ruang kepada rejim PH yang dikuasai DAP bertapak kembali di bumi Johor.
Jangan ulangi kesilapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau kelak rakyat Johor akan kembali hidup sengsara.
Leave a Reply